
KOTA BHARU: Seramai 1,100 golongan asnaf di daerah Melor di sini menerima sumbangan zakat daripada pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd serta Masjid Imanul Fa’izin sempena ketibaan bulan Ramadan.
Timbalan Pengerusi Masjid Imanul Fa’izin, Dr. Abdul Fatah Yaso berkata, kesemua golongan asnaf berkenaan menerima sumbangan zakat berupa keperluan asas.
“Ini merupakan insiatif Andalusia dan Masjid Imanul Fa’izin dalam meringankan beban golongan terbabit sempena sambutan bulan Ramadan yang tidak lama lagi.
“Sumbangan berkenaan terdiri daripada barangan asas seperti beras, minyak masak, susu dan beberapa lagi yang bernilai kira-kira RM150,” katanya kepada Ceritera.

Beliau berkata, pihaknya bersama Andalusia sentiasa prihatin terhadap keperluan masyarakat setempat terutama dalam mengurangkan beban golongan asnaf terbabit.
Abdul Fatah menambah, program sumbangan zakat sempena Ramadan telah memasuki tahun ketiga dan berharap ia dapat berkekalan dalam memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
“Proses pemilihan asnaf pula dilakukan oleh 11 masjid sekitar daerah Melor untuk memastikan agihan dapat dilaksanakan dengan sempurna,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, sepanjang bulan Ramadan, Masjid Imanul Fa’izin akan menganjurkan majlis berbuka puasa pada setiap hari kepada para jemaah dan penduduk setempat.
“Pada kebiasaannya, kita menyediakan juadah berbuka untuk menampung sebanyak 600 sehingga 1,000 jemaah.
“Menariknya tentang program berbuka ini, suasana sangat meriah malah mengimbau kenangan seolah-seolah seperti berada di Madinah, Arab Saudi,” ujarnya.

Katanya lagi, pelbagai program lain turut dirangka sepanjang bulan Ramadan untuk mengimarahkan masjid.
Sementara itu, seorang penerima sumbangan, Nor Ilyana Ismail, 46 berkata dia sangat bertuah dan bersyukur kerana terpilih menerima sumbangan zakat tersebut.
“Saya berharap pihak Andalusia dan masjid dapat meneruskan program-program seumpama ini dalam meringankan beban golongan asnaf,” kata suri rumah berkenaan.

Bagi Mohd Azlan Muhammad, 60, pula memberitahu, pemberian sumbangan berkenaan tentu sekali dapat membantu apatah lagi bakal menyambut bulan Ramadan.
“Barangan keperluan asas yang diberikan dapat mengurangkan perbelanjaan sepanjang bulan puasa ini.
“Saya sangat bersyukur kepada Andalusia dan pihak masjid kerana sentiasa membantu masyarakat setempat,” ujarnya.

Ibu kepada lapan orang anak, Wan Norizan Wan Muhammad Daud, 55, memberitahu, sumbangan berkenaan sudah tentu sesuatu yang sangat baik.
“Saya cukup bersyukur kerana golongan asnaf menerima manfaat berkenaan dan berharap program-program sumbangan ini dapat dikekalkan pada tahun akan datang,” katanya.







