
KUALA LUMPUR: Agensi pelancongan Islam terkemuka negara, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd meraikan lebih 500 jemaah haji musim 1446H/2025M di sini hari ini.
Dalam Majlis Perjumpaan Ukhwah Jemaah Haji Andalusia Travel & Tours musim 1446H/2025M itu, para jemaah haji tidak melepaskan peluang menyulam berita sesama mereka.
Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, program berkenaan bertujuan untuk meraikan apresiasi pihak syarikat kepada 555 jemaah haji.
“Selain menyantuni dan menghargai para jemaah, program ini adalah sebagai ‘jambatan’ get back together kepada mereka serta pihak Andalusia.
“Ia merupakan Tautan Rindu Haramain yang kita laksanakan sebagai program tahunan kepada para jemaah haji,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Hadir sama ialah Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md. Daud Che Ngah dan Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin.
Dalam majlis berkenaan, pihak Andalusia turut memaparkan klip-klip video perjalanan jemaah haji musim 1446H/2025M sehingga meruntun jiwa sesetengah para jemaah haji.
Selain itu, terdapat juga ceramah disampaikan Ustaz Ahmad Izzhar Ahmad Nazri atau lebih dikenali sebagai Dai Izzhar dan cabutan bertuah.
Ida Riswana menambah, program berkenaan juga dapat mengetahui mengenai perkembangan terbaharu para jemaah.
Katanya, majlis itu juga sebagai inisiatif mempromosikan mengenai Andalusia kepada orang ramai sekali gus dapat menarik minat mereka memilih syarikat itu untuk mengerjakan ibadah haji atau umrah.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, antara cabaran yang perlu dihadapi Andalusia sewaktu musim haji 1446H/2025M adalah peraturan-peraturan yang tidak dijangka dari Arab Saudi.

“Pada tahun ini, cabaran utama kita adalah apabila sudah biasa dengan peraturan-peraturan sebelum ini tetapi terdapat pembaharuan dalam aplikasi Nusuk dan proses-proses lain.
“Banyak informasi baharu yang kita tidak peroleh menyukarkan proses-proses berkenaan,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, proses jemaah haji melalui Tabung Haji sangat teratur dan memudahkan perjalanan mengerjakan ibadah haji.
Katanya, Andalusia sentiasa komited memastikan kebajikan setiap jemaah sepanjang di Tanah Suci ketika mengerjakan ibadah haji dan umrah.
Andalusia telah meraih dua anugerah antarabangsa berprestij sempena The BrandLaureate 20th Anniversary Special Limited Edition BestBrands Awards 2025, yang berlangsung di Singapura baru-baru ini.