
SHAH ALAM – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan individu yang menghantar mesej ugutan kepada isteri bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, isteri Ahli Parlimen Pandan itu telah membuat laporan polis semalam.
Susulan itu, katanya, polis akan bekerjasama dengan beberapa agensi berkaitan bagi menjejaki pemilik nombor telefon berkenaan.
“Siasatan bagi kes ini dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan,” katanya.
Tambah Shazeli, dalam masa sama polis turut mengambil keterangan doktor yang merawat anak mangsa bagi membantu siasatan.
Semalam, Rafizi mendedahkan isterinya menerima dua mesej ugutan pada jam 1.12 pagi dan 11.02 pagi.
Sehingga kini seramai enam individu dirakam keterangan susulan kejadian melibatkan anak lelaki beliau di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Dalam kejadian 2 petang, anak Rafizi berusia 12 tahun itu diserang dua individu menunggang motosikal sebelum disuntik jarum berisi cecair.






