
BUTTERWORTH: Seorang pesara berusia 67 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi pertuduhan merogol cucu saudaranya yang ketika itu berusia sembilan tahun, dalam kejadian yang didakwa berlaku antara 2022 hingga 2023.
Tertuduh, seorang duda yang mempunyai empat anak, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.
Menurut kertas pertuduhan, perbuatan tersebut didakwa berlaku di sebuah rumah di Permatang Kerai Besar, Kepala Batas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin, tidak menawarkan jaminan atas alasan hubungan rapat tertuduh sebagai datuk saudara kepada mangsa serta lokasi tempat tinggal mereka yang berdekatan, yang berisiko menimbulkan gangguan kepada mangsa.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Yazid Khairul Azman dan Ismat Arif Abu Hassan, memohon agar anak guam mereka dibenarkan diikat jamin atas faktor kesihatan termasuk masalah pendengaran dan keperluan rawatan berkala di hospital.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin, serta dikenakan syarat tambahan:
Perlu melapor diri di balai polis setiap bulan, dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sepanjang tempoh perbicaraan.
Kes akan disebut semula pada 24 September depan bagi mendapatkan laporan perubatan tertuduh.






