CHUKAI: Kapal tidak berpenghuni yang digelar ‘kapal hantu’ dan ditemui hanyut berhampiran Pelantar Semangkok A, Terengganu sejak 12 Ogos lalu ditunda ke Kemaman Supply Base (KSB) hari ini.
Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, operasi menunda kapal terbabit merupakan usaha bersepadu yang melibatkan 62 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan serta syarikat industri minyak dan gas.
Menurutnya, operasi diselaraskan oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Timur, PETRONAS, serta beberapa agensi swasta lain.
“Sebuah helikopter Dauphin AS 365 N3 digunakan bagi pemantauan udara untuk memastikan keselamatan pergerakan kapal dan pasukan operasi di laut.
“Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Maritim Malaysia diterbangkan menggunakan helikopter Westar AW139 dari Kerteh ke Platform Larut, sebelum dipindahkan ke kapal MV Aishah AIMS 1 (kapal keselamatan) bagi mendekati kapal yang hanyut,” katanya dalam sidang media di Pejabat Maritim Kemaman, hari ini.
Beliau berkata, STAR Team menaiki kapal berkenaan dan melaksanakan pemasangan tali tunda, sebelum ditarik oleh kapal penyelamat MV JM Purnama menuju ke KSB.
“Perjalanan menunda kapal sejauh hampir 140 batu nautika mengambil masa lebih dua hari, dengan kelajuan sekitar 3.5 knot. Kapal selamat tiba di KSB sekitar pukul 11.30 pagi tadi.
“Setibanya di pangkalan, pemeriksaan keselamatan akan dijalankan oleh Unit HAZMAT Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), JLM, dan Maritim Malaysia, sebelum siasatan lanjut dijalankan,” ujarnya.
Katanya, siasatan awal akan meneliti kemungkinan terdapat mangsa di atas kapal, namun pengesahan hanya boleh dibuat selepas pemeriksaan menyeluruh di lokasi.
Mazlan menjelaskan, kapal tersebut berpotensi mendatangkan ancaman serius kepada keselamatan pelantar minyak dan laluan perkapalan, malah boleh mencetus bencana besar sekiranya dibiarkan hanyut tanpa kawalan.
“Kejayaan misi ini adalah hasil kerjasama erat semua pihak termasuk MRCC Putrajaya, JLM, Malaysian Petroleum Management (MPM), PETRONAS, PETRONAS Carigali, Vestigo Petroleum, Jadestone Energy (Malaysia), Jasa Merin (Malaysia), JBPM serta PDRM,” katanya.
Pihaknya tidak menolak kemungkinan kapal berkenaan mempunyai kaitan dengan insiden kapal tangki terbakar di perairan Tanjung Sedili pada 6 Ogos lalu, namun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesahkan identiti kapal tersebut.
