
KUALA LUMPUR: Ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mendapatkan perintah menggali semula kubur anak lelakinya bagi tujuan bedah siasat kedua.
Permohonan itu difailkan semalam oleh Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, melalui firma guaman Tetuan Naran Singh & Co, dengan menamakan Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail dan Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar sebagai responden.
Menurut peguam Naran Singh, yang mewakili pemohon, notis usul berkenaan telah disahkan difailkan kepada Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Dalam permohonannya, Ummu Haiman Bee meminta mahkamah mengeluarkan perintah kepada pihak berkuasa berkaitan untuk menggali semula jasad anaknya, yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Selangor.
Dia turut memohon pakar forensik dari Hospital Kuala Lumpur ditugaskan menjalankan bedah siasat kedua dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan, dengan kehadiran pakar forensik Datuk Seri Dr Bhupinder Singh, serta peguam keluarga atau wakil dari firma Tetuan Naran Singh & Co.
Selain itu, permohonan turut dibuat agar Ketua Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah melantik pasukan penyiasat baharu dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, bagi mengambil alih siasatan daripada pegawai siasatan sedia ada.
Pemohon juga mahu satu inkues dijalankan oleh Peguam Negara bagi menyiasat punca kematian Syamsul Haris, serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Permohonan ini difailkan dengan alasan bedah siasat pertama tidak dilakukan oleh pakar forensik hospital, tetapi hanya oleh seorang pegawai perubatan Gred UD10, Dr George Sixtus Fernandez Jr.
Dalam afidavit sokongannya, Ummu Haiman Bee mendakwa terdapat kecederaan mencurigakan pada jasad anaknya, termasuk lebam pada mata kanan, dada berdarah, dan kesan pukulan dipercayai akibat objek tumpul.
Dia juga mendakwa darah tidak berhenti mengalir dari hidung anaknya sehingga ke saat dikebumikan, yang menimbulkan syak wasangka berlaku kecederaan serius pada bahagian otak dan dada.
“Gambar-gambar kecederaan pada jasad anak saya jelas menunjukkan ia bukan disebabkan oleh kecuaian biasa, sebaliknya akibat objek tumpul, dan menimbulkan syak wujud unsur jenayah,” katanya.
Dia juga menyatakan keluarga tidak dibenarkan melihat keseluruhan jasad, malah ketika penutup keranda dibuka, hanya wajah anaknya sahaja yang didedahkan.
Allahyarham Syamsul Haris dilaporkan menyertai sesi latihan menembak pada 27 Julai lalu di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram, Johor.
Keesokannya, keluarga dimaklumkan dia meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi.
Pada 13 Ogos lalu, Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin, memaklumkan jawatankuasa siasatan mendapati tiada unsur penderaan dalam kes kematian Syamsul Haris.
Namun, pihak keluarga meragui dapatan tersebut dan kini menuntut siasatan lanjut.






