SEREMBAN: Seorang pemandu e-hailing warga emas terkejut apabila mendapati keretanya yang ditinggalkan seketika di stesen minyak bersama seorang penumpang dilarikan dalam kejadian awal pagi kelmarin di Bandar Ainsdale.
Kejadian berlaku 3.30 pagi, ketika pemandu berusia 61 tahun itu dalam perjalanan membawa seorang penumpang lelaki dari Taman Bukit Jed menuju ke Sri Subang, Petaling Jaya.
Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, pemandu berkenaan berhenti di sebuah stesen minyak untuk mengisi petrol dan ke tandas, namun meninggalkan kereta jenis Toyota Vios dalam keadaan enjin masih hidup dengan penumpang di dalamnya.
“Apabila keluar dari tandas, pemandu mendapati keretanya hilang dan mengesyaki ia dilarikan oleh penumpang lelaki terbabit. Dia kemudian membuat laporan polis,” katanya.
Bertindak atas laporan, polis mengesan kereta tersebut menggunakan alat geolokasi (GPS) dan menemui kenderaan itu di kawasan parkir sebuah apartmen di Sri Subang.
Suspek berusia 22 tahun ditahan pukul 12 tengah hari semalam, dan mengaku melarikan kenderaan tersebut.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah membabitkan kes khianat dan curi di Seremban, serta satu kes curi kenderaan di Sungai Way, Selangor.
“Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” jelas Mohamad Hatta.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor.
