KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas aset bernilai lebih RM31.4 bilion dalam tempoh lima tahun lalu, dengan hampir RM28 bilion daripadanya sudah dilucut hak oleh mahkamah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, rampasan ini membabitkan pelbagai kes berprofil tinggi termasuk sindiket penyeludupan, penyelewengan dana serta pemilikan aset mewah hasil daripada aktiviti jenayah.
“Antara aset yang dirampas termasuk hartanah, wang tunai, kenderaan mewah, jam tangan berjenama, serta beg tangan eksklusif,” katanya.
Antara kes besar yang disebut Azam ialah Operasi Metal, yang menyaksikan rampasan aset bernilai lebih RM183 juta hasil serbuan terhadap sindiket penyeludupan besi.
SPRM turut menyita hartanah bernilai RM620 juta berkaitan projek rangkaian fiber, serta aset mewah bernilai RM32 juta dari kediaman seorang bergelar ‘Tan Sri’, termasuk 217 utas jam tangan mewah dan 27 beg tangan berjenama.
Dalam satu lagi kes penyelewengan dana projek lebuh raya, SPRM merampas lebih RM36 juta aset yang merangkumi wang tunai, kereta mewah, dan akaun bank.
Azam menegaskan penyitaan dan pelucuthakan aset adalah langkah penting bagi memastikan penjenayah tidak mendapat manfaat daripada hasil jenayah mereka, sekali gus menjadi mesej tegas ‘jenayah tidak pernah menguntungkan’.
Beliau mengakui proses pelupusan harta tak alih bukanlah mudah kerana ia melibatkan prosedur undang-undang yang rumit dan memakan masa, terutama apabila terdapat proses rayuan atau pertikaian perundangan.
Sehingga kini, SPRM menguruskan 41 hartanah yang masih menunggu untuk dilupuskan. Azam berkata, cabaran utama ialah kekurangan mekanisme seragam dan tiada peruntukan khusus bagi menampung kos penyelenggaraan serta guaman berkaitan hartanah yang telah disita.
