
KUALA LUMPUR: Syarikat pelancongan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd memperkenalkan satu lagi inisiatif pelancongan berkonsepkan ilmu dan rohani menerusi pakej istimewa ke Uzbekistan, bertemakan ‘Meneroka Jejak Ilmu Imam Al-Bukhari’.
Pakej eksklusif ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menyelusuri sejarah kegemilangan tamadun Islam di tiga bandar utama Uzbekistan iaitu Tashkent, Bukhara dan Samarkand yang suatu ketika dahulu menjadi pusat ilmu, budaya dan ketamadunan dunia Islam.
Menurut jurucakap Andalusia, pemilihan Uzbekistan bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi juga sebagai medan refleksi terhadap sumbangan besar ulama silam, khususnya Imam Al-Bukhari, tokoh hadis paling berpengaruh dalam sejarah Islam.
“Ini bukan percutian biasa. Ia satu perjalanan rohani dan intelektual.
“Para peserta akan dibawa menziarahi tapak-tapak bersejarah seperti Citadel Ark, Mausoleum Samanid, Masjid Bolo-Hauz, Telaga Nabi Ayub, Kompleks Shakhi-Zindeh, Masjid Bibi Khanum, Gunung Chimgan dan banyak lagi,” katanya kepada Ceritera.
Lawatan selama 7 hari 5 malam yang dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 21 Oktober depan, ditawarkan pada harga bermula RM5,998 seorang, dan merangkumi tiket penerbangan pergi balik, penginapan, pengangkutan, makanan, lawatan berpandu, insurans perjalanan serta kemudahan lengkap lain.
Andalusia turut menekankan program ini bertujuan menyemai semangat cintakan ilmu dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya generasi muda, di samping memperkukuh kefahaman terhadap sejarah dan warisan Islam.
Bagi mereka yang berminat, tempahan boleh dibuat menerusi 60 cawangan Andalusia di seluruh negara atau secara dalam talian melalui laman rasmi dan platform digital mereka.
Dalam usaha menyemarakkan semangat jelajah ilmu dan ibadah, Andalusia turut melancarkan Kempen Jelajah Impian dan Mimpi Bersama Andalusia (JIMBA), yang menawarkan peluang menunaikan umrah secara percuma melalui cabutan bertuah mingguan.
Antara hadiah menarik yang ditawarkan dalam kempen tersebut termasuk sebuah kereta, dua motosikal, dan pelbagai barangan bernilai keseluruhan lebih RM500,000. Cabutan bertuah akan diadakan setiap hari Sabtu semasa Karnival JIMBA, dengan kemas kini dan siaran langsung boleh diikuti melalui akaun TikTok rasmi mereka di @jimba_andalusia.
