
KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis giatmengkaji cadangan mengenakan surcaj RM2 kepada pelancong yang keluar atau memasuki negeri itu melalui sempadan Malaysia–Thailand di Padang Besar dan Wang Kelian.
Cadangan itu kini masih dalam peringkat kajian, setelah dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu mesyuarat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tahun lalu.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, berkata langkah ini mencontohi mekanisme kutipan yang dikenakan kepada kenderaan di sempadan Malaysia–Singapura di Johor Bahru.
“Cadangan ini mendapat maklum balas yang agak baik.
“Kita ambil model dari Johor di mana pelancong atau kenderaan yang keluar dan masuk dikenakan surcaj. Perkara ini dalam kajian oleh MOF,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri hari ini.
Beliau berkata, mekanisme pelaksanaan belum ditetapkan dan perkara itu akan ditentukan oleh pihak MOF sekiranya cadangan diluluskan.
Menurut Mohd Shukri, pelaksanaan surcaj ini bukan sahaja berpotensi memberi pulangan kewangan kepada negeri, malah dapat mengekang aliran keluar wang ke negara jiran.
“Laporan menunjukkan kira-kira RM4 bilion wang rakyat Malaysia mengalir ke Thailand setiap tahun. Jika kita dapat kutip sedikit sahaja daripada jumlah itu, hasilnya boleh digunakan untuk menaik taraf infrastruktur pelancongan dan kemudahan awam di Perlis,” jelasnya.
Beliau turut menjangka bahawa jika diluluskan, negeri-negeri sempadan lain seperti Kedah dan Kelantan juga mungkin akan mengambil langkah yang sama.
Sebelum ini, kerajaan negeri pernah menyuarakan hasrat untuk mengenakan caj kecil kepada pelancong yang melintasi sempadan Perlis–Thailand, namun ini merupakan kali pertama cadangan tersebut dibawa secara rasmi ke peringkat Kerajaan Persekutuan.
Mohd Shukri menegaskan bahawa kerajaan negeri masih menunggu keputusan rasmi, dan sebarang pelaksanaan hanya akan dilakukan selepas mendapat kelulusan dan garis panduan daripada MOF.







