KUALA LUMPUR: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal mengesahkan sudah menerima notis tunjuk sebab daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung kenyataannya berkaitan inkues kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir.
Notis berkenaan diserahkan kepada beliau semalam dan Shafie diberi tempoh tujuh hari untuk menjawabnya.
“Saya sahkan sudah terima notis tunjuk sebab itu,” katanya ringkas dalam satu sidang media parti di Kota Kinabalu.
Sebelum ini, Shafie dalam satu majlis Jelajah Inspirasi DSSA P187 Kinabatangan pada 20 September mempersoalkan tempoh panjang inkues tersebut.
Rakaman video kenyataannya yang tular menunjukkan beliau mempertikai kelewatan menentukan punca sebenar kematian Zara, yang dianggapnya membingungkan dan memerlukan jawapan segera.
Susulan itu, AGC dalam kenyataannya pada Isnin lalu menegaskan meneliti kenyataan tersebut dan tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan tegas, termasuk prosiding penghinaan mahkamah, jika didapati mengganggu integriti prosiding mahkamah yang sedang berjalan.
Pengarah Pendakwaan Sabah, Nahra Dollah, yang juga bertindak sebagai pegawai pengendali inkues, memaklumkan pagi tadi bahawa notis tunjuk sebab telah disediakan dan sedia untuk diserahkan.
Bagaimanapun, ketika itu pihaknya belum dapat mengesahkan bila ia akan sampai ke tangan bekas Ketua Menteri Sabah itu.
Zara Qairina, 13 tahun, merupakan pelajar SMKA Tun Datu Mustapha, Papar. Dia ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolah sekitar jam 4 pagi pada 16 Julai 2024, dan disahkan meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
Setelah meneliti laporan siasatan oleh pihak polis, AGC mengarahkan inkues dijalankan pada 13 Ogos untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.
Setakat ini, 10 saksi, termasuk dua kanak-kanak, telah dipanggil memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
