
KUALA LUMPUR – Kepelbagaian pengalaman menjadi nilai tambah Dewan Negara apabila dua individu daripada latar belakang berbeza mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, hari ini.
Mereka ialah Bendahari Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor, Datuk Ng Keng Heng dan Pengerusi Kelab Siam Sektor Awam Malaysia (KeSSA), Niran Tan Kran yang juga bekas Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, Perak.
Kehadiran mereka diyakini memperkukuh peranan Dewan dalam membincangkan isu rakyat dan serantau, selaras dengan saranan Awang Bemee agar senator sentiasa peka terhadap cabaran semasa.
Keng Heng merupakan lantikan baharu dipilih oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkuat kuasa 11 September hingga 10 September 2028, manakala Niran lantikan Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa hari ini hingga 23 September 2028.
Dalam ucapannya, Awang Bemee menyambut baik pelantikan berkenaan sambil mengingatkan Ahli Dewan Negara supaya cakna terhadap perkembangan semasa, khususnya peranan Malaysia sebagai pendamai dalam ASEAN, termasuk usaha meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja.
“Kita mesti fikir tentang semua hal ini dan memainkan peranan sebagai seorang penggubal undang-undang agar kepentingan negara atau nasional terus terpelihara,” katanya.
Dalam sidang akhbar, Keng Heng menekankan iltizam untuk memberi tumpuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang disifatkannya sebagai nadi ekonomi negara, sejajar dengan penglibatannya dalam Dewan Perniagaan Tiong Hua.
Beliau turut menyatakan hasrat memperjuangkan agenda pembangunan Johor di Dewan Negara agar manfaatnya dapat dirasai rakyat.
Sementara itu, Niran melihat pelantikannya sebagai ruang untuk mengetengahkan isu-isu perundangan, termasuk cadangan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan pendakwa raya, selain menekankan kepentingan menyemak semula undang-undang lama agar selaras dengan keperluan semasa.





