
KUALA LUMPUR : Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail menegaskan Malaysia bukan pusat operasi Hamas, sekali gus menolak dakwaan yang berlegar.
Beliau berkata tahap keselamatan negara sentiasa terkawal hasil kerjasama erat dengan agensi penguat kuasa dan negara jiran.
Bahkan dalam masa yang sama, Mohd Khalid mengakui sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin memang dekat di hati rakyat Malaysia, namun memberi jaminan pihak keselamatan sentiasa berwaspada agar semangat solidariti itu tidak disalahgunakan bagi tujuan menyalahi undang-undang.
“Berdasarkan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam, perjuangan di Palestin sememangnya dekat di hati rakyat. Atas sebab itu, kita sentiasa memberi sokongan berterusan kepada Palestin, bagaimanapun agensi keselamatan tetap berwaspada supaya semangat solidariti itu tidak dieksploitasi untuk tujuan yang menyalahi undang-undang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalin kerjasama baik dengan semua agensi kerajaan, khususnya Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), sentiasa berhubung, berkongsi maklumat serta mengambil tindakan bersama dalam menangani isu berkaitan.
“Negara jiran juga memberikan kerjasama yang baik serta berkesan. Seperti yang semua maklum, kes tangkapan di Sadao membabitkan penyeludupan senjata api berjaya digagalkan, dengan tindakan undang-undang diambil pihak berkuasa Thailand. Kita berkongsi maklumat dengan Thailand untuk mengenal pasti rangkaian mereka dan akan terus bekerjasama dalam perkara sebegini,” katanya.
Tegasnya, ancaman keganasan, penyeludupan senjata dan jenayah rentas sempadan tidak akan sekali-kali diberi ruang toleransi oleh pihak berkuasa.
“Keselamatan negara adalah terkawal, kita akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan rakan serantau bagi memastikan tiada kumpulan yang menjadikan negara ini sebagai pangkalan operasi,” katanya.
Media antarabangsa sebelum ini menyiarkan kenyataan bekas penganalisis kewangan keganasan di Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Jonathan Schanzer, yang mendakwa Malaysia kononnya menjadi pusat operasi Hamas. Beliau turut mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan tuduhan tidak berminat terhadap usaha perdamaian.
Kritikan tersebut timbul susulan kenyataan tegas Anwar yang menegaskan pendirian Malaysia untuk terus menyokong Palestin, termasuk menggesa supaya hubungan dengan Israel diputuskan ekoran serangan berterusan di Gaza serta perampasan tanah di Tebing Barat.





