KUALA LUMPUR: Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) optimis mencapai sasaran menguruskan sekurang-kurangnya 60,000 jemaah umrah menjelang hujung tahun ini.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, setakat ini seramai 47,000 jemaah sudah mendaftar bagi menyertai pakej umrah yang ditawarkan syarikat berkenaan.
“Insya Allah kami menyasarkan 55,000 dan bakinya akan kita capai sebelum akhir musim umrah 1447H itu pada Februari nanti.
“Jadi kami berharap boleh mencapai antara 55,000 hingga 60,000 jemaah sebelum hujung tahun 2025 ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Konvensyen Pegawai Pemasaran Andalusia Siri 2.0 di sini, hari ini.
Terdahulu, lebih 300 pegawai pemasaran dari seluruh negara menghadiri konvensyen tersebut yang diadakan bagi menghargai peranan mereka mempromosikan pakej umrah syarikat itu.
Program tahunan anjuran Andalusia itu menjadi platform untuk memperkukuh hubungan antara pengurusan dan ejen selain memberikan pengisian berkaitan strategi pemasaran semasa.

Ida Riswana berkata, Andalusia kini mempunyai kira-kira 2,000 pegawai pemasaran yang aktif dan menyasarkan peningkatan seramai 10,000 ejen berdaftar menjelang 2026.
Beliau berkata, hasil usaha gigih ejen berjaya menyantuni lebih 16,000 jemaah umrah pada musim umrah 1446H dengan anggaran nilai jualan sekitar RM100 juta.
Katanya, orang ramai yang berminat disaran memohon menjadi pegawai pemasaran Andalusia bagi membantu lebih ramai umat Islam menunaikan ibadah umrah dengan selesa dan teratur.
“Syarikat akan menetapkan proses saringan bagi memastikan hanya individu yang amanah dan bertanggungjawab sahaja dilantik sebagai ejen.
“Ejen adalah wakil Andalusia dan perlu berintegriti tinggi kerana mereka berurusan dengan urusan kewangan serta jemaah yang bakal menjadi Duyufurrahman,” katanya.
Beliau berkata, individu yang menjadi ejen juga berpeluang menjadikan kerjaya itu sebagai sumber pendapatan tetap memandangkan permintaan terhadap pakej umrah semakin meningkat.
Dalam usaha berterusan menyemarakkan semangat beribadah dalam kalangan umat Islam, Andalusia meneruskan kempen Jelajah Impian dan Mimpi Bersama Andalusia (JIMBA) iaitu inisiatif mingguan yang menawarkan pakej umrah percuma melalui cabutan bertuah.

Antara hadiah utama yang ditawarkan termasuk kereta, motosikal serta pelbagai barangan bernilai, dengan jumlah keseluruhan hadiah melebihi RM500,000.
Cabutan bertuah diadakan setiap Sabtu semasa Karnival JIMBA, dan boleh disaksikan secara langsung melalui akaun TikTok rasmi @jimba_andalusia.
