
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak, Kedah dan Pulau Pinang terus meningkat kepada 5,806 orang pagi ini, berbanding 4,743 orang malam tadi.
Di Perak, empat daerah terjejas iaitu Larut Matang Selama, Manjung, Kerian dan Perak Tengah mencatat peningkatan kepada 2,922 mangsa daripada 993 keluarga setakat pukul 8 pagi ini, berbanding 2,806 mangsa daripada 955 keluarga malam tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, satu PPS baharu telah dibuka, menjadikan keseluruhan 26 PPS kini beroperasi. Peningkatan mangsa dilaporkan di semua pusat pemindahan.
Jumlah mangsa di Pulau Pinang meningkat kepada 1,026 orang daripada 279 keluarga, ditempatkan di tujuh PPS.
Tujuh PPS ini terletak di tiga daerah, iaitu empat di Seberang Perai Utara (SPU), dua di Seberang Perai Tengah (SPT), dan satu di Barat Daya di bahagian pulau.
SPU mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 778 orang daripada 212 keluarga yang ditempatkan di SK Lahar Yooi, Sekolah Agama Rakyat Nyior Sebatang, Pusat Penempatan Banjir Labuh Banting dan SK Padang Menora.
Di SPT, 217 mangsa daripada 58 keluarga ditempatkan di SK Guar Perahu dan SMK Permatang Pasir, manakala di Barat Daya, 31 mangsa daripada sembilan keluarga berada di SK Tan Sri Awang Salleh.
Di Kedah, jumlah mangsa terus meningkat kepada 1,858 orang daripada 587 keluarga berbanding 1,009 orang daripada 312 keluarga malam tadi.
Enam PPS baharu telah dibuka, menjadikan keseluruhan 14 PPS beroperasi. Daerah Pokok Sena dan Baling merupakan daerah terbaharu yang terjejas. Di Baling, empat PPS iaitu SK Siong, SK Seri Bayu, Dewan Tun Abdul Razak (Lama) dan Kompleks Belia dan Sukan menempatkan 251 orang daripada 88 keluarga. Di Pokok Sena, Dewan Serbaguna Pokok Sena menempatkan 85 orang daripada 26 keluarga.
Daerah Kulim mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 1,470 orang daripada 449 keluarga di lapan PPS, termasuk Surau Taman Sang Kancil, Dewan Kampung Paya Tok Betok, Sekolah Menengah Agama (SMA) Insaniah Jangkang dan SJKC Khai Min. Di Kuala Muda, SJKC Chong Cheng menempatkan 52 mangsa daripada 24 keluarga.
Laman sesawang Public Infobanjir mengeluarkan amaran banjir di Langkawi yang dijangka menjejaskan kawasan rendah dalam radius lima kilometer sekitar Sungai Melaka dan Kampung Padang Mat Sirat dari pukul 4 pagi hingga 6 petang hari ini.
Empat sungai di Kedah melepasi paras bahaya, iaitu Sungai Pendang di Pendang (3.26 meter), Sungai Chepir di Sik (36.7 meter), Sungai Ketil di Kampung Bongor, Baling (60.8 meter), dan Sungai Titi Kerbau di Pendang (7 meter). Dua sungai berada pada paras waspada, iaitu Sungai Nawa di Pokok Sena (9.97 meter) dan Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Kota Setar (2.1 meter).
JPBN negeri-negeri terbabit terus memantau keadaan banjir dan memastikan mangsa mendapat bantuan serta tempat perlindungan yang selamat.







