
KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijangka mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada 26 hingga 27 Oktober 2025 sempena Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20, atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan ini merupakan kunjungan pertama Trump ke Asia Tenggara sejak dipilih sebagai Presiden AS ke-47 pada Januari lalu.
Anwar dan Trump dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala pada 26 Oktober, yang dijangka membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, serta hubungan antara rakyat selaras dengan Perkongsian Komprehensif Malaysia-AS.
Kedua-dua pemimpin dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, serta menandatangani beberapa dokumen penting dalam bidang perdagangan dan keselamatan.
“Lawatan ini dijangka memperkukuh lagi hubungan antara Malaysia dan AS serta membuka lembaran baharu ke arah peningkatan tahap hubungan dua hala yang lebih strategik,” menurut kenyataan Wisma Putra.
Sejak menjalin hubungan diplomatik pada 1957, hubungan dua hala Malaysia dan AS kekal kukuh. AS juga merupakan antara rakan dagang dan pelabur terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan bernilai RM324.91 bilion (AS$71.39 bilion) pada 2024.






