
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio, esok.
“Saya akan berjumpa dengannya esok,” kata Anwar secara ringkas ketika ditanya mengenai lawatan Rubio yang dijadual menghadiri beberapa mesyuarat serantau di Malaysia, termasuk Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN-AS, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), serta Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Forum Serantau ASEAN (ARF) Ke-32 yang berlangsung dari 10 hingga 11 Julai.
Rubio dijangka tiba esok, menandakan lawatan sulungnya ke Asia sejak dilantik sebagai Setiausaha Negara awal tahun ini.
Sepanjang lawatan tersebut, beliau dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Anwar dan turut bertemu pegawai kanan kerajaan bagi membincangkan pelbagai isu serantau, termasuk komitmen AS dalam memperkukuh Indo-Pasifik yang bebas, terbuka dan selamat.
Terdahulu, Anwar merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN Ke-58 dan mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar memaklumkan isu tarif import 25 peratus yang diumumkan Presiden Donald Trump baru-baru ini akan dibangkitkan dalam pertemuannya dengan Rubio. Tarif tersebut, menurutnya, berpotensi memberi kesan negatif kepada Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara lain.
“Malaysia telah menghantar pasukan rundingan untuk menyampaikan pendirian kita bahawa negara ini adalah sebuah negara dagang, dan sebarang tindakan mengenakan tarif secara unilateral akan menjejaskan ekonomi negara serta rantau ini.
“Rundingan masih berjalan, dan saya pasti akan membangkitkan isu ini kepada Setiausaha Negara AS agar beliau dapat membawa perkara ini ke perhatian pihak berkenaan sebelum keputusan muktamad dibuat oleh Presiden Trump,” katanya.
Anwar turut menegaskan hubungan dengan AS kekal penting, namun Malaysia tidak akan berkompromi dalam mempertahankan kepentingan ekonominya.
“Kita perlu mengekalkan hubungan baik dengan AS, tetapi dalam masa yang sama, kita juga harus mempertahankan pendirian bahawa Malaysia adalah negara dagang.
“Kita telah kemukakan hujah dan alasan, dan diberikan tempoh sehingga Ogos untuk keputusan akhir,” jelas beliau.
Semalam, Trump menerusi platform Truth Social mengumumkan Malaysia termasuk dalam senarai negara yang akan dikenakan tarif import sebanyak 25 peratus, sebagai sebahagian daripada langkah baharu dalam dasar perdagangan AS terhadap negara-negara rakan dagang utamanya.






