KAJANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal diadakan hujung bulan ini menjadi antara pertimbangan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam keputusan mengemukakan rayuan separa terhadap keputusan mahkamah berhubung tuntutan 40 peratus hasil negeri itu.
Menurut Anwar, kerajaan menerima keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengesahkan hak Perlembagaan Sabah untuk menerima 40 peratus hasil persekutuan, namun terdapat beberapa isu dalam alasan penghakiman yang perlu diperbetulkan melalui proses rayuan.
“Tidak (bukan kerana pilihan raya negeri). Kita sudah menerima keputusan itu tetapi… maksud saya, ada isu dalam alasan penghakiman,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis di sini, hari ini.
Beliau berkata, keputusan untuk memfailkan rayuan separa itu dibuat selepas melalui beberapa siri perbincangan menyeluruh yang turut melibatkan kepimpinan tertinggi kerajaan.
“Terdapat banyak mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. Saya sendiri turut mempengerusikan mesyuarat di Kuching, Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur,” ujarnya.
PRN Sabah dijadual berlangsung pada 29 November ini.
Pada Selasa lalu, AGC mengumumkan kerajaan tidak akan merayu terhadap keputusan mahkamah yang mengesahkan hak perlembagaan Sabah untuk menerima 40 peratus hasil persekutuan daripada negeri itu, namun akan mencabar beberapa ‘kecacatan’ dalam alasan penghakiman yang diberikan.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan semakan semula pasca 2021 terhadap hak hasil negeri Sabah oleh kerajaan adalah tidak sah, tidak rasional, tidak mengikut prosedur dan tidak seimbang.
AGC kemudiannya memaklumkan kerajaan akan merayu terhadap bahagian keputusan tersebut.
Terdahulu di Dewan Rakyat, Anwar menjelaskan sebahagian alasan penghakiman itu menuduh berlakunya kesilapan besar oleh kerajaan persekutuan dan negeri sejak tahun 1974, yang menurut beliau perlu diperbetulkan kerana tidak adil menyalahkan semua pentadbiran terdahulu termasuk kerajaan di bawah pimpinan Tun Abdul Razak Hussein, serta kerajaan Sabah ketika itu yang diketuai Tun Mustapha Harun dan Tun Fuad Stephens.
Anwar turut menegaskan perbincangan mengenai tuntutan 40 peratus hasil Sabah akan diteruskan walaupun negeri itu kini ditadbir oleh kerajaan sementara.
Katanya, rundingan teknikal dijalankan ketika ini dan keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas PRN selesai.
