
KUALA LUMPUR: Johor mencatat sejarah sebagai negeri pertama di negara ini yang memperkenalkan insentif khas RM1,000 kepada pengamal media berdaftar dengan Kelab Media Johor (KMJ), seperti diumumkan dalam Belanjawan Johor 2026 hari ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi pemberian tunai berkenaan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan peranan penting pengamal media dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.
Menurut beliau, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada 23 komponen di bawah Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang memperuntukkan lebih RM157 juta bagi membantu pelbagai lapisan rakyat negeri itu.
“BKJ memanfaatkan lebih 330,000 rakyat pelbagai latar belakang termasuk anak yatim, ibu tunggal, petani, pesakit kronik dan warga emas.
“Langkah ini turut mencerminkan komitmen kerajaan negeri terhadap prinsip ‘setiap sen hasil negeri dipulangkan kepada rakyat’ serta semangat Bangsa Johor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2026 di Kota Iskandar.
Beliau berkata, pelaksanaan BKJ melambangkan kasih sayang dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyat, selaras dengan agenda Maju Johor yang berteraskan kesejahteraan serta keadilan sosial.
Antara bantuan utama yang diumumkan termasuk BKJ Anak Yatim Johor sebanyak RM2,000 seorang dalam bentuk tunai dan simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang memanfaatkan 12,307 anak yatim dengan peruntukan RM24.6 juta. BKJ Ketua Isi Rumah Miskin Tegar dan Miskin pula melibatkan peruntukan RM19.43 juta bagi 9,714 penerima yang bakal menerima RM2,000 seorang, manakala BKJ Ibu Tunggal akan memanfaatkan 48,537 penerima yang menerima RM500 seorang dengan peruntukan RM24.27 juta.
Selain itu, BKJ Petani, Penternak dan Nelayan turut diumumkan dengan pemberian RM400 seorang kepada 33,976 penerima berjumlah RM13.6 juta, manakala BKJ Pesakit Kanser dan Dialisis memperuntukkan lebih RM7 juta bagi pemberian RM600 seorang.
Onn Hafiz menegaskan, keseluruhan bantuan tersebut membuktikan keazaman kerajaan negeri memastikan hasil negeri dikembalikan kepada rakyat melalui pelbagai bentuk bantuan yang menyeluruh dan berkesan.







