PUTRAJAYA: Seperti yang dijanjikan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan lima ikhtiar segera bagi menangani kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Anwar mengumumkan penghargaan tersebut menerusi ucapan yang disiarkan secara langsung, di Putrajaya.
“Ikhtiar pertama ialah pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk semua rakyat berusia 18 tahun ke atas sebanyak RM100 secara ‘one-off’ menerusi MyKad bermula 31 Ogos ini.
“Bantuan ini boleh digunakan di lebih 4,100 premis runcit termasuk Mydin, Lotus’s, Econsave dan 99Speedmart sehingga 31 Disember 2025 serta memberi manfaat kepada 22 juta rakyat dengan peruntukan RM2 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA kepada RM15 bilion pada 2025,” katanya.
Bagi ikhtiar kedua, Anwar mengumumkan cuti umum tambahan sempena Hari Malaysia pada 15 September 2025 (Isnin).
Katanya, langkah itu bagi memberi peluang kepada masyarakat meningkatkan jalinan silaturahim menerusi pelbagai aktiviti bersama keluarga.
Tidak lupa menyentuh mengenai cabaran kerajaan dalam menstabilkan kos hidup rakyat, Anwar mengumumkan pertambahan Jualan Rahmah MADANI dengan peruntukan dinaikkan kepada RM600 juta.
Beliau berkata, pertambahan jualan itu disusuli dengan liputan turut diperluas ke 600 kawasan DUN dan lebih banyak jenis barangan asas ditawarkan.
Bagi ikhtiar keempat, Anwar mengumumkan penangguhan kenaikan tol di 10 lebuh raya utama yang dijadualkan tahun ini.
“Kerajaan menanggung kos pampasan melebihi RM500 juta melibatkan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX),” katanya.
Ikhtiar yang kelima dan terakhir, Anwar mengumumkan penurunan harga petrol RON95.
Anwar berkata, rakyat Malaysia akan menikmati harga RON95 lebih rendah iaitu RM1.99 seliter.
“Ini tentunya beri manfaat sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig.
“Pada masa yang sama, mereka yang tidak layak seperti warganegara asing perlu untuk membayar pada harga pasaran tanpa subsidi.
“Pendekatan bersasar ini sejajar dengan ikhtiar kerajaan untuk mengoptimum sumber negara bagi manfaat rakyat dan mengurangkan pembaziran subsidi,” katanya.
