KUALA LUMPUR : Langkah kerajaan menyuntik RM2.5 bilion ke dalam ekonomi melalui Penghargaan Untuk Rakyat merangkumi bantuan tunai universal, subsidi bersasar dan insentif pengangkutan yang bertujuan menangani isu kos sara hidup dijangka mencetuskan kesan pengganda yang positif.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Abu Sufian Abu Bakar berkata ia ekoran rakyat membelanjakan bantuan ini untuk keperluan asas, sekali gus merangsang perniagaan tempatan serta meningkatkan pungutan cukai secara tidak langsung.
Bahkan katanya, pendekatan ini sejajar dengan teori ekonomi Keynesian yang menyarankan perbelanjaan kerajaan untuk merangsang permintaan agregat ketika ekonomi memerlukan dorongan.
“Menariknya, had masa bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 22 juga rakyat dari Ogos hingga Disember akan memastikan wang ini dibelanjakan, sekali gus memaksimumkan kesan rangsangan terhadap ekonomi.
“Dalam masa yang sama, pelaksanaan subsidi petrol secara bersasar menggambarkan kematangan dalam pengurusan fiskal. Subsidi hanya diberikan kepada golongan yang benar-benar layak, seterusnya mengurangkan pembaziran yang sering berlaku apabila subsidi turut dinikmati warganegara asing,” katanya.
Tambah Abu Sufian, pengumuman ini lebih daripada sekadar bantuan kewangan sebaliknya menyemai rasa keadilan sosial.
“Setiap warganegara dewasa, tanpa mengira latar belakang politik, status ekonomi atau lokasi tempat tinggal, menerima bantuan yang sama rata. Ini melambangkan komitmen kerajaan untuk menjaga kesejahteraan seluruh rakyat tanpa sebarang diskriminasi.
Tindakan ini bukan sahaja bersifat segera dan menyeluruh, malah memberi isyarat kerajaan prihatin terhadap kesusahan rakyat dalam menghadapi tekanan ekonomi semasa. Ia juga membina asas kepercayaan antara rakyat dan negara iaitu satu elemen penting dalam membina negara yang inklusif dan sejahtera,” katanya.
