
KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan kesemua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) bagi penggal 2025–2029 telah meletakkan jawatan secara kolektif dan sukarela dengan serta-merta dalam satu keputusan yang dibuat secara sebulat suara.
FAM berkata, keputusan itu diambil dengan mengambil kira tanggungjawab organisasi tanpa sebarang kepentingan atau jawatan peribadi susulan situasi semasa yang telah menarik perhatian umum serta memberi kesan terhadap landskap bola sepak negara.
“Langkah berkenaan merupakan satu tindakan berhemah dan berprinsip selain mencerminkan tanggungjawab bersama bagi melindungi integriti FAM sebagai badan induk bola sepak Malaysia.
“Peletakan jawatan tersebut bertujuan untuk menjaga reputasi dan kepentingan FAM serta mengurangkan risiko yang berpotensi menjejaskan bola sepak Malaysia secara keseluruhan sekiranya situasi semasa berlarutan,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Exco FAM turut menjelaskan bahawa tindakan tersebut selari dengan prinsip tadbir urus yang baik dan akauntabiliti khususnya dalam keadaan di mana keyakinan awam terhadap institusi bola sepak negara perlu dipelihara serta dipulihkan.
Menurutnya, keputusan berkenaan turut membuka ruang kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk menilai, menyemak serta jika perlu, menangani sebarang perkara berkaitan tadbir urus dan pentadbiran dalaman FAM tanpa sebarang gangguan atau persepsi konflik kepentingan.
Dalam kenyataan sama, Jawatankuasa Eksekutif menegaskan peletakan jawatan itu menunjukkan komitmen bahawa khidmat kepada bola sepak Malaysia lebih utama berbanding tempoh jawatan, walaupun mereka telah diberikan mandat selama empat tahun dan hanya berkhidmat selama 11 bulan sejak dipilih bagi penggal 2025–2029.
Langkah drastik itu juga bertujuan untuk memastikan sebarang pembaharuan yang perlu dilaksanakan dapat dijalankan dengan asas kepercayaan yang tinggi, sekali gus membantu memulihkan keyakinan penyokong, pihak berkepentingan, rakan kongsi serta komuniti bola sepak secara keseluruhan.
“Walaupun tidak lagi memegang sebarang jawatan, Jawatankuasa Eksekutif FAM menegaskan komitmen untuk terus memberikan kerjasama penuh kepada FIFA, AFC serta semua pihak berkepentingan yang relevan, demi kepentingan jangka panjang bola sepak Malaysia,” katanya.







