
KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) menetapkan kadar bayaran dam dan korban di Tanah Suci pada RM875 bagi setiap ekor qibas bagi musim haji 1446H/2025M.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Syed Hamadah Syed Othman, berkata bakal jemaah haji tahun ini boleh membuat pembayaran dam melalui aplikasi ThiJARI dan kaunter pejabat, manakala penyertaan korban terbuka kepada semua pendeposit TH.
“TH terus menyediakan perkhidmatan bayaran dam buat bakal jemaah haji bagi musim haji tahun ini, bermula pada Jumaat, 28 Mac sehingga 3 Julai.
“Pembayaran penyertaan korban di Tanah Suci boleh dibuat oleh semua pendeposit TH bermula dari 28 Mac sehingga 31 Mei,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tahun ini TH bekerjasama dengan The Kingdom of Saudi Arabia Project for Utilisation of Hady & Adahi (ADAHI) yang merupakan pembekal haiwan sembelihan yang diiktiraf Kerajaan Arab Saudi bagi urusan dam dan korban.
“Selaras dengan keputusan Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji TH, bakal haji yang melaksanakan ibadah haji Tamattu’ dan Qiran digalakkan untuk melaksanakan bayaran dam pada kadar semasa sebelum tiba di Tanah Suci kerana lebih mudah,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan sebarang tawaran pembayaran dam dan korban yang mencurigakan daripada agensi pelancongan atau mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan.