
KOTA BHARU: Ajal datang tanpa diduga.
Itu situasi yang berlaku terhadap seorang penggali kubur apabila dia meninggal dunia ketika menguruskan pengebumian jenazah seorang bekas imam di Kampung Padang Kala, Melor, di sini.
Halim Mat Razi, 55, tidak sedarkan diri ketika berada dalam liang untuk menyambut jenazah bekas Imam Masjid Mukim Padang Kala, Zakaria Abdullah, 75, yang meninggal dunia pagi semalam.
Anak sulung Halim, Nurul Aina Natasya Halim, 24, berkata dia mengetahui kejadian menimpa bapanya itu selepas dihubungi rakan sekampung.
Ketika itu, dia dan suami, Mohd Anuar Sa’adan, 31, dalam perjalanan ke Gombak, Selangor untuk mengambil ibu saudara sebelum pulang beraya ke Kelantan.
“Ayah turun dalam liang untuk sambut jenazah imam, kemudian tidak sedarkan diri dan bersandar pada dinding liang.
“Penduduk bawa keluar ayah dan bawa ke Klinik Kesihatan Peringat sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di klinik itu,” katanya.
Nurul Aina Natasya berkata, hasil laporan perubatan bapanya dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Kala, tanah perkuburan sama dengan imam pukul 9.49 malam tadi.