
KUALA LUMPUR: Malaysia akan menghantar pasukan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ke Yangon, Myanmar untuk menjalani misi bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana susulan gempa bumi berukuran 7.7 skala Richter yang menggegarkan negara itu semalam.
Kementerian Luar melalui kenyataan berkata, pasukan dijangka membabitkan 40 anggota itu dijadual berlepas pagi esok dengan tumpuan kepada kawasan terjejas yang dikenal pasti dalam penilaian awal, bagi memastikan bantuan Malaysia disalurkan secara tepat dan responsif terhadap keadaan semasa.
Keputusan untuk menghulurkan bantuan ini diambil susulan kejadian gempa bumi yang melanda kawasan tengah Myanmar, utara Thailand dan sebahagian selatan China, yang telah mengorbankan banyak nyawa dan menyebabkan kemusnahan besar.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan melalui kenyataan sama menegaskan ASEAN bersedia untuk membantu Myanmar dan Thailand dalam usaha tindak balas bencana, selaras keutamaan ditetapkan oleh kedua-dua negara.
Beliau turut menyatakan negara anggota ASEAN akan berkoordinasi secara rapat melalui Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana (AHA Centre), bagi memastikan bantuan kemanusiaan disampaikan dengan segera, tepat dan berkesan.
“Kementerian Luar sedang menyelaras segala keperluan visa dan logistik bagi misi ini. Kedutaan Besar Malaysia di Yangon juga akan memberi sokongan kepada operasi pasukan tersebut semasa mereka di Myanmar, termasuk penyelarasan bersama pihak berkuasa tempatan.
“Malaysia kekal teguh dalam komitmennya terhadap kerjasama serantau dan akan terus menyumbang secara bermakna kepada usaha bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana di seluruh ASEAN.
“Dalam semangat tanggungjawab bersama, Malaysia berdiri teguh bersama semua komuniti yang terjejas dalam tempoh pemulihan ini,” katanya.
Gempa bumi kuat yang berpusat di Myanmar itu menggegarkan Asia Tenggara semalam, mengakibatkan sekurang-kurangnya 150 kematian dan kerosakan besar pada bangunan dan infrastruktur awam.
Pasukan penyelamat di Bangkok, Thailand masih bergelut untuk mengeluarkan mangsa dipercayai terperangkap dalam runtuhan bangunan setinggi 30 tingkat yang masih dalam pembinaan.