
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad meninggal dunia pada usia 83 tahun meninggalkan legasi cemerlang dalam bidang kehakiman negara.
Allahyarham yang dilahirkan di Kepala Batas, Pulau Pinang menabur bakti selama 21 tahun dalam bidang perundangan memulakan kerjaya pada Mei 1969 dengan menyertai perkhidmatan kehakiman dan perundangan.
Sepanjang tempoh itu, beliau pernah berkhidmat sebagai majistret, Presiden Mahkamah Sesyen, Penolong Pengarah Biro Bantuan Guaman dan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi.
Beliau dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi pada 1992 dan dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Rayuan pada 2002.
Setahun kemudian, Abdul Hamid dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan. Pada September 2007, beliau dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan sebelum dinamakan Ketua Hakim Negara pada 11 Disember tahun sama.
Beliau bersara pada Oktober 2008.
Bekas Hakim Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer, memuji Allahyarham sebagai seorang hakim yang memiliki pengetahuan mendalam dalam undang-undang sivil dan syariah.
Beliau juga dianggap merintis jalan bagi dokumen perbankan Islam untuk mendapatkan keabsahan kontrak selaras dengan undang-undang lazim dan Akta Kontrak.
Hamid Sultan Abu Backer berkata, prinsip ‘buat kerja’ menjadi pemacu utama yang diperjuangkan Allahyarham bagi menggerakkan badan kehakiman memenuhi tanggungjawab awam khususnya dalam menyelesaikan tunggakan kes yang terlalu banyak.
Allahyarham meninggalkan satu legasi dihormati dalam sistem kehakiman Malaysia kerana dedikasi dan sumbangan beliau dalam memperkukuh integriti mahkamah.






