
KUALA LUMPUR: Trend penyakit tidak berjangkit (NCD), khususnya diabetes jenis 2, semakin membimbangkan apabila dikesan dalam kalangan remaja seawal usia 14 tahun, mencerminkan kemerosotan tahap kesihatan belia negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, data Daftar Diabetes Kebangsaan (NDR) merekodkan 1,926 kes baharu pada 2024, meningkat kepada 1,932 kes pada 2025, manakala 660 kes lagi direkodkan bagi tempoh Januari hingga Jun 2026.
Perkembangan itu menunjukkan diabetes jenis 2 tidak lagi hanya menyerang golongan dewasa, sebaliknya semakin menular dalam kalangan remaja dan belia berusia bawah 30 tahun.
“Dapatan ini menunjukkan bahawa terdapat golongan muda yang sebenarnya mempunyai faktor risiko atau penyakit tidak berjangkit tanpa disedari. Kini, kita melihat individu didiagnos dengan diabetes jenis 2 pada usia yang lebih muda seawal 14 tahun,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong) yang meminta statistik terkini NCD dalam kalangan belia bawah 30 tahun, serta status keberkesanan kempen ‘War on Sugar’ (Perangi Gula) dan penguatkuasaan cukai gula dalam menurunkan kadar obesiti nasional.
Dzulkefly berkata, risiko itu terbukti menerusi pelaksanaan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) pada tahun 2025 yang menyaring 347,813 individu berumur 18 hingga 30 tahun.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 11,751 orang atau 3.4 peratus dikenal pasti mempunyai paras glukosa darah yang tinggi, manakala 30,170 orang (8.8 peratus) pula didapati mempunyai bacaan tekanan darah yang tinggi, walaupun 98.1 peratus daripada keseluruhan peserta saringan tidak mempunyai sejarah NCD,” katanya.
Bagi menangani situasi berkenaan, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) kini mengalihkan fokus sistem penyampaian daripada sick-care (rawatan penyakit) kepada health-care (penjagaan kesihatan pencegahan) menerusi pengesanan awal dan intervensi perubahan gaya hidup.






