
KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu memberi jaminan tidak akan melaksanakan operasi ‘pukat’ sepanjang penganjuran RXZ Members 8.0 yang dijadual berlangsung pada 31 Julai hingga 1 Ogos depan.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, pihaknya mengalu-alukan kehadiran lebih 100,000 penunggang motosikal dari seluruh negara ke negeri itu, namun menegaskan tiada sebarang layanan istimewa atau pengecualian diberikan kepada mana-mana peserta yang melanggar undang-undang.
Menurutnya, walaupun operasi ‘pukat’ tidak akan dijalankan, tindakan penguatkuasaan tetap akan dilaksanakan terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan lalu lintas.
“Kami mengalu-alukan kehadiran semua peserta ke Terengganu, tetapi mereka perlu mematuhi peraturan jalan raya.
“Tiada keistimewaan atau pengecualian. Jika melakukan kesalahan, tindakan akan diambil. Jangan bimbang, penguatkuasaan tetap berjalan walaupun tiada operasi ‘pukat’,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.
Beliau berkata, seramai 619 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan sepanjang program berlangsung bagi memastikan kelancaran trafik serta menjaga ketenteraman awam.
Katanya, anggota polis turut ditempatkan di beberapa lokasi strategik termasuk Jalan Pantai Seberang Takir (Pantai Miami) dan Jalan Pantai Teluk Ketapang bagi menghalang peserta daripada melakukan aksi berbahaya seperti wheelie.
“Kehadiran anggota di lokasi berkenaan adalah sebagai langkah pencegahan awal kerana kita mengetahui jalan tersebut lurus dan berkemungkinan ada pihak yang mengambil kesempatan untuk menunggang secara berbahaya,” katanya.
Mohd. Khairi mengingatkan semua peserta supaya tidak menjadikan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) sebagai lokasi perlumbaan ketika datang atau pulang daripada program berkenaan.
Beliau turut menasihatkan peserta supaya tidak membuat bising di kawasan awam termasuk hospital dan lokasi penginapan serta tidak membawa sebarang barangan terlarang ke Terengganu.
Menurutnya, polis juga akan mempertingkat rondaan menerusi Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kereta peronda (MPV) di kawasan tumpuan bagi memastikan keselamatan orang ramai sentiasa terpelihara.
Dalam penganjuran RXZ Members tahun lalu, sebanyak dua kemalangan maut, dua kemalangan membabitkan kecederaan parah dan tujuh kemalangan cedera ringan direkodkan, manakala lebih 100,000 peserta hadir menyertai himpunan tersebut.







