
KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya kerajaan menggubal Akta Perlindungan Guru bagi melindungi warga pendidik yang semakin terdedah kepada tindakan undang-undang, ancaman serta pelbagai tekanan ketika melaksanakan tanggungjawab mereka di sekolah.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, akta berkenaan penting bagi melindungi guru yang bertindak dengan niat baik, secara munasabah serta mematuhi prosedur ditetapkan ketika mengawal disiplin dan memastikan keselamatan pelajar.
Katanya, guru sering berdepan situasi yang memerlukan mereka membuat keputusan segera, sama ada untuk menangani masalah disiplin, kecemasan atau menjaga keselamatan murid di sekolah.
“Jika sesuatu tindakan diambil mengikut undang-undang dan garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM), mereka tidak seharusnya mudah dikenakan tindakan sivil atau jenayah hanya kerana ada pihak yang tidak berpuas hati,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata, penggubalan akta itu juga mampu mengurangkan budaya litigasi yang semakin meningkat apabila pertikaian berkaitan sekolah semakin kerap dibawa ke mahkamah.
Katanya, akta tersebut boleh memperuntukkan mekanisme penyelesaian awal seperti siasatan atau proses mediasi sebelum sesuatu kes dibawa ke peringkat mahkamah.
Asyraf Wajdi berpandangan Akta Perlindungan Guru wajar menyediakan bantuan guaman atau indemniti kerajaan kepada guru yang berdepan tindakan undang-undang ketika menjalankan tugas rasmi.
“Ramai guru terpaksa menanggung sendiri kos guaman walaupun tindakan mereka dibuat dalam ruang lingkup tugas yang diamanahkan,” katanya.
Beliau berkata, perlindungan undang-undang yang jelas mampu meningkatkan keyakinan guru untuk menjalankan tanggungjawab tanpa dibayangi kebimbangan akan disaman setiap kali mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar.
Menurutnya, jika guru sentiasa berasa takut berdepan tindakan undang-undang, mereka mungkin menjadi terlalu berhati-hati sehingga enggan mengambil tindakan sewajarnya, sekali gus menjejaskan pengurusan sekolah dan usaha membentuk sahsiah murid.
Ujarnya, penggubalan Akta Perlindungan Guru bukan sahaja mampu memperkukuh kedudukan profesion perguruan, malah meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap warga pendidik serta membantu menarik dan mengekalkan lebih ramai bakat berkualiti dalam bidang pendidikan.






