
KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal, Shila Amzah merancang berhijrah ke China pada penghujung tahun depan bagi memberi tumpuan kepada perkembangan kerjayanya yang semakin berkembang di negara itu.
Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah berkata, perancangan tersebut dibuat selepas bakal menandatangani satu lagi kontrak jangka panjang di China, namun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai projek berkenaan.
Menurut penyanyi berusia 35 tahun itu, perpindahan tersebut juga membolehkan suami dan anak-anak sentiasa berada di sisinya sekali gus mengurangkan tempoh berjauhan setiap kali perlu berada di luar negara atas urusan kerja.
“Saya bakal menandatangani satu lagi kontrak, tetapi belum boleh berkongsi tempoh atau projeknya. Apa yang boleh saya katakan, kontrak itu agak panjang dan sebab itulah kami meletakkan sasaran untuk berpindah ke sana.
“Berulang-alik memang memenatkan. Setiap kali perlu ke luar negara selama tiga atau empat hari, saya terpaksa meninggalkan anak-anak.
“Itu antara pengorbanan yang perlu dilakukan, namun pada masa sama saya mahu mereka melihat usaha mama mereka dan berasa bangga,” katanya.
Dia berkata demikian pada sidang akhbar Konsert KITA | Shila Amzah | 25 Tahun Bersama di sini semalam.
Menurut Shila, suaminya, Muhammad Ubaidillah Mohd. Zulkefli atau lebih dikenali sebagai Ubai turut menyokong hasrat tersebut memandangkan pekerjaannya yang fleksibel membolehkan dia menyesuaikan diri mengikut keperluan keluarga.
Shila yang pernah mencipta fenomena di China selepas menjuarai pertandingan realiti Asian Wave di Shanghai pada 2012 berkata, keputusan itu bukan kerana dia lebih dihargai di negara berkenaan, sebaliknya mahu merebut peluang yang datang dalam kerjayanya.
“Bukan soal saya lebih dihargai di mana-mana. Di mana ada rezeki, di situlah saya pergi. Ini tidak bermakna saya melupakan peminat di Malaysia kerana saya masih akan menghasilkan album dan mengadakan konsert di sini. Saya cuba mencari keseimbangan,” katanya.
Dia kini giat menyiapkan sebuah album penuh berbahasa Mandarin khusus untuk pasaran China yang dijangka dilancarkan tahun depan.
Mengulas peluang kembali mengembangkan kerjaya di China, Shila mengakui ia bukan sesuatu yang mudah, namun percaya usia bukan penghalang untuk memulakan lembaran baharu dalam kehidupan.
“Peluang ini bukan mudah untuk diperoleh. Saya sentiasa mengingatkan diri bahawa kita masih boleh memulakan sesuatu yang baharu tanpa mengira usia,” katanya.







