
KUALA LUMPUR: Tentera Darat Malaysia (TDM) menafikan dakwaan tular yang mengaitkan seorang pegawainya dengan kes rogol, cabul dan salah laku seksual, sebaliknya menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai fitnah serta tidak berasas.
TDM dalam satu kenyataan memaklumkan, dakwaan yang kembali tular di media sosial itu sebenarnya telah mula tersebar sejak tahun 2024 dan telah pun disiasat secara dalaman.
Menurut kenyataan itu, hasil siasatan mendapati kandungan yang dikongsikan di media sosial adalah bercanggah dengan fakta sebenar dan tidak disokong oleh bukti yang sah.
“Susulan itu, anggota yang terlibat telah membuat laporan polis serta laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membolehkan tindakan lanjut diambil terhadap penyebaran dakwaan tersebut,” menurut kenyataan itu.
TDM turut memaklumkan individu yang membuat tuduhan berkenaan tidak pernah tampil membuat laporan polis berhubung dakwaan jenayah yang dibangkitkan.
Sebaliknya, pengadu didakwa memilih untuk menggunakan platform media sosial sebagai medium membuat tuduhan, satu tindakan yang disifatkan tidak profesional serta dilihat seolah-olah bertujuan mencemarkan imej Tentera Darat Malaysia.
Menurut TDM, akaun tanpa nama yang digunakan untuk menyebarkan dakwaan tersebut juga didapati telah dipadamkan daripada media sosial.
TDM menegaskan budaya ‘trial by viral’ tidak wajar dinormalisasikan kerana ia boleh menjejaskan keadilan serta reputasi pihak yang dituduh tanpa melalui proses siasatan yang sewajarnya.
“TDM akan menggunakan segala saluran perundangan sama ada di bawah undang-undang sivil mahupun jenayah bagi membendung penyebaran fitnah seperti ini.
“Setiap dakwaan hendaklah dikemukakan melalui saluran yang sah supaya dapat disiasat secara adil, telus dan mengikut lunas undang-undang,” katanya.






