
TAWAU: Lapan pelajar lelaki berusia 13 dan 14 tahun direman selama dua hari bagi membantu siasatan berhubung satu pergaduhan yang dipercayai berpunca daripada dakwaan penyebaran gambar dan video berunsur seksual yang disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Perintah reman sehingga Jumaat ini dikeluarkan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin di Mahkamah Majistret Tawau bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.
Menurut siasatan awal, polis menerima maklumat mengenai rakaman video berdurasi 27 saat yang tular menerusi aplikasi WhatsApp memaparkan pergaduhan membabitkan beberapa pelajar dan seorang lelaki yang menggunakan topi keledar di kawasan kedai Batu 5, Jalan Apas.
Polis menahan kesemua suspek pukul 3 petang semalam bagi membantu siasatan.
Siasatan awal mendapati pergaduhan dipercayai tercetus susulan perselisihan faham berkaitan dakwaan penyebaran gambar dan video berunsur seksual yang didakwa telah disunting menggunakan teknologi AI.
Kandungan berkenaan dipercayai menggunakan wajah dua individu sebelum didakwa tersebar di media sosial, sekali gus mencetuskan ketegangan antara kedua-dua pihak sehingga membawa kepada pergaduhan.
Namun, hasil siasatan lanjut mendapati tiada sebarang video atau gambar suntingan AI seperti didakwa ditemui di mana-mana platform media sosial setakat ini.
Polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta mengesan sama ada wujud unsur lain yang mencetuskan pergaduhan tersebut.






