
PUTRAJAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan tular yang mengaitkan penggunaan nombor rujukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada surat pengakuan nikah yang didakwa dikeluarkan oleh Majlis Ulama Rohingya Malaysia.
Menterinya, Datuk Dr. Zulkifli Hasan berkata, pihaknya masih belum menerima maklumat lengkap mengenai dakwaan berkenaan, justeru siasatan akan dilakukan bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung isu yang menjadi perhatian ramai itu.
“Nanti kita siasat. Saya belum menerima maklumat lengkap berhubung perkara tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia (PePSSM) Kali Kedua 2026, di sini hari ini.
Terdahulu, media sosial dibanjiri perkongsian mengenai surat pengakuan nikah yang didakwa dikeluarkan Majlis Ulama Rohingya Malaysia dengan memaparkan nombor rujukan ‘JAKIM.PERH/LN.800-7(5)’, sekali gus mencetuskan persoalan sama ada dokumen itu mempunyai kaitan atau pengiktirafan daripada Jakim.
Sebelum ini, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dilaporkan tidak mengiktiraf surat berkenaan sebagai dokumen pernikahan yang sah.
Malah, jabatan itu memaklumkan perkahwinan membabitkan komuniti etnik Rohingya tidak boleh didaftarkan ketika ini kerana melibatkan isu dasar yang masih diperhalusi oleh pihak berkuasa agama negeri.
Zulkifli berkata, kerajaan turut mengambil maklum isu penyampaian ceramah agama tanpa tauliah menerusi platform media sosial, namun menjelaskan urusan pentauliahan mengajar agama berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Menurutnya, kerajaan sedang meneliti pendekatan terbaik bagi menangani isu ceramah agama secara dalam talian tanpa tauliah kerana ia melibatkan aspek perundangan yang memerlukan penelitian.
Pada masa sama, jabatan di bawah seliaannya sentiasa memastikan individu yang dijemput menyampaikan ceramah atau muncul di platform rasmi memiliki tauliah yang sah.
Terdahulu ketika berucap, beliau menegaskan kerajaan komited memperkukuh undang-undang syariah agar kekal relevan dalam mendepani cabaran baharu termasuk jenayah siber.
Katanya, kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Peguam Negara perlu terus diperkasakan bagi memastikan penguatkuasaan dan pendakwaan syariah lebih berkesan.
Beliau turut menekankan kepentingan pendakwaan syariah bergerak seiring perkembangan teknologi menerusi penggunaan sistem pengurusan kes secara digital, kecerdasan buatan (AI) dan pemodenan prasarana bagi meningkatkan kecekapan serta ketelusan penyampaian keadilan.
Menurutnya, peningkatan jenayah yang semakin kompleks menuntut pendakwa syarie memperkukuh kompetensi dalam pelbagai bidang termasuk forensik digital, analisis data, teknologi dan teknik advokasi supaya sentiasa bersedia menghadapi cabaran semasa dengan tahap profesionalisme yang tinggi.






