
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan segera mengusir mana-mana individu warga Israel yang didakwa mempunyai dua kerakyatan serta menetap di Malaysia sekiranya dakwaan itu disahkan benar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak akan bertolak ansur dalam perkara berkenaan kerana negara ini tidak mengiktiraf Israel.
Menurut beliau, siasatan mengenai dakwaan tersebut sedang dijalankan oleh semua agensi berkaitan, manakala Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dijangka memberikan penjelasan lanjut mengenainya.
“Semua agensi berkaitan sedang menjalankan siasatan dan saya percaya Zambry akan memberikan penjelasan. Jika dakwaan itu terbukti, kita tidak akan membenarkan mereka menetap di Malaysia kerana kita tidak mengiktiraf Israel,” katanya.
“Semua agensi berkaitan (sedang menyiasat dakwaan ini) dan saya percaya Zambry akan beri jawapan. Kita siasat dan tidak izinkan (rakyat Israel menetap di Malaysia) kerana kita tidak iktiraf (Israel).
“Mereka akan diusir segera (jika terbukti dakwaan terbabit benar). Tetapi (dakwaan) ini semua agensi sudah menjalankan siasatan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan kerajaan Johor yang meminta pihak berkuasa menyiasat komuniti teknologi di Forest City yang dikenali sebagai ‘Network School’ susulan ada dakwaan warga Israel dengan dua kerakyatan menetap di kawasan terbabit.
‘Network School’ merupakan sebuah komuniti kediaman eksklusif yang turut menawarkan ruang kerja bersama, diasaskan oleh pelabur teknologi, Balaji Srinivasan, pada 2024.
Komuniti berkenaan menyasarkan kelompok yang dikenali sebagai ‘techno-optimist’, dengan yuran sekitar AS$1,500 (RM6,118.50) sebulan yang merangkumi penginapan, makanan serta pelbagai kemudahan lain termasuk akses ke gimnasium.
Nama ‘Network School’ menjadi perhatian semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini selepas timbul dakwaan beberapa warga Israel menggunakan pasport negara kedua mereka untuk tinggal dalam komuniti tersebut.
Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri telah meminta Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta agensi berkaitan menjalankan semakan terhadap status kerakyatan individu yang terlibat bagi menentukan sama ada mereka menggunakan pasport kedua untuk menetap di situ.
Beliau turut menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Digital meneliti status operasi ‘Network School’ berikutan dakwaan komuniti itu tidak menawarkan perkhidmatan pendidikan dan tidak berdaftar sebagai institusi pengajian tinggi.
Selain itu, Onn Hafiz berkata, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri bersama pejabat tanah akan menyemak pematuhan komuniti berkenaan terhadap peraturan dan undang-undang tempatan, selain mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat sebarang pelanggaran.






