
SEREMBAN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun optimis menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Beliau berkata, meskipun kawasan itu merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN), beliau yakin dapat mencipta kemenangan di Linggi.
“Saya yakin kita mampu membangunkan Linggi sebagai sebuah kawasan yang lebih hebat pada masa depan.
“Menerusi pelabuhan dan kawasan perindustrian yang sedang dirancang ketika ini, akan membawa kemakmuran serta memastikan rakyat Linggi tidak ketinggalan.
“DUN Linggi kubu kuat BN, kali ini saya bertanding di situ untuk memastikan kemenangan. Tiada yang mustahil,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon PH di Dataran Melang, Kuala Pilah malam tadi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, kemenangan di DUN Linggi membolehkan beliau lebih dekat dengan penduduk setempat, sekali gus memahami keperluan mereka dengan lebih menyeluruh.
Aminuddin turut memohon sokongan dan restu pengundi Linggi bagi meneruskan agenda pembangunan serta memastikan kawasan itu menikmati limpahan projek pembangunan, yang dirancang kerajaan negeri.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pengundi DUN Sikamat yang memberi kepercayaan kepadanya selama empat penggal berturut-turut sejak 2008.







