
KUALA LUMPUR: Lotus’s Malaysia mengambil tindakan tatatertib susulan insiden wanita mengandung dituduh mencuri di cawangan pasar raya itu di Selayang, Selangor, baru-baru ini.
Syarikat itu memaklumkan, tindakan itu menyusul selepas pihaknya selesai menjalankan siasatan terhadap insiden terbabit yang tular di media sosial.
Menurutnya, pihaknya mendapati cara insiden itu dikendalikan tidak memenuhi standard layanan dan perkhidmatan sewajarnya diharapkan pelanggan terhadap Lotus’s.
“Kepada pelanggan, isteri beliau serta keluarga mereka, kami ingin memohon maaf atas insiden yang telah berlaku.
“Kami amat kesal atas pengalaman yang telah mereka lalui. Kami juga telah menghubungi keluarga tersebut secara langsung dan kekal komited untuk mendapatkan semula kepercayaan mereka,” menurut kenyataan itu hari ini.
Menurut Lotus’s, pihaknya kini mengambil langkah memperkukuh garis panduan, prosedur dan latihan bagi memastikan semua kakitangan terus mengamalkan standard perkhidmatan yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian berulang.
Pada masa sama, syarikat peruncitan itu turut menzahirkan rasa kesal terhadap laporan gangguan peribadi dan ugutan secara dalam talian yang ditujukan kepada pekerja serta ahli keluarga terdekat mereka sepanjang insiden.
Media sebelum ini melaporkan suami kepada seorang wanita mengandung mempertikaikan tindakan penyelia pasar raya itu yang menyuruh isterinya berdiri selama 20 minit selepas dituduh mencuri.
Lelaki dikenali sebagai Fareez, 25, memaklumkan isterinya berusia 23 tahun dan sarat hamil dituduh mencuri barang yang kononnya disorok dalam pakaian.





