
LYON: Penyerang Real Madrid dan Brazil, Endrick bersetuju menyertai kelab Perancis, Olympique Lyon secara pinjaman sehingga akhir musim ini.
Pemain berusia 19 tahun itu menyertai gergasi Sepanyol berkenaan pada musim panas 2024 dari Palmeiras selepas membantu kelab Brazil itu memenangi gelaran liga domestik selama dua musim berturut-turut.
Bagaimanapun, selepas membuat 37 penampilan pada musim 2024–25, peluang penyerang berbakat itu di Santiago Bernabeu musim ini menjadi terhad di bawah kendalian Xabi Alonso apabila hanya beraksi dalam tiga perlawanan sahaja.
Endrick telah menjaringkan tiga gol dalam 14 perlawanan bersama skuad kebangsaan Brazil, namun penampilan antarabangsa terakhirnya adalah pada bulan Mac lalu ketika Brazil tewas 1–4 kepada Argentina dalam aksi kelayakan Piala Dunia di Buenos Aires.
Pemain remaja itu berharap perpindahan ke Ligue 1 dapat membuka ruang memperagakan kemampuan sekali gus kembali menyarung jersi skuad Brazil menjelang Piala Dunia musim panas tahun hadapan yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Menurut hantaran Instagram wartawan bola sepak terkemuka, Fabrizio Romano, pemain kelahiran Taguatinga itu akan memakai jersi nombor 9.
“Olympique Lyon telah bersetuju menerima klausa penalti yang diminta oleh Real Madrid… sekiranya Endrick gagal diturunkan dalam jumlah perlawanan tertentu sepanjang enam bulan akan datang bersama kelab tersebut,” katanya.







