
MELAKA : Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan tiga suspek berusia 33 dan 29 tahun serta seorang wanita berusia 24 tahun disyaki terbabit dalam 10 kes pecah rumah yang dilaporkan berlaku di daerah Melaka Tengah.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, seorang daripadanya mempunyai 20 rekod kesalahan lampau.
Beliau menambah, suspek berkenaan terdiri daripada dua lelaki merupakan adik-beradik dan seorang wanita dikenali sebagai ‘Geng Logan’ ditahan secara berasingan di sebuah kedai barang antik di Jalan Munshi serta di Lorong Mangga pada 15 Disember lalu.
Menurutnya, kesemua suspek ditahan hasil risikan yang dijalankan selama beberapa bulan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.
“Dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas pelbagai barangan yang dipercayai hasil jenayah termasuk plat emas, wang syiling lama pelbagai mata wang, telefon bimbit pelbagai model, sebuah komputer riba, iPad, jam tangan pelbagai jenama, sarung tangan, sarung kepala, pemotong besi, lampu suluh serta sebilah pisau,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek utama mempunyai 20 rekod kesalahan lampau melibatkan jenayah dan dadah manakala dua suspek lain tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Katanya lagi, kesemua suspek kini direman sehingga 29 Disember 2025 bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Jika kesalahan itu melibatkan perbuatan mencuri, hukuman penjara boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada balai polis berhampiran bagi membolehkan tindakan segera diambil demi keselamatan dan ketenteraman awam.







