
SEPANG: Polis mengesahkan wanita yang didakwa menetap di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini memiliki kad berkaitan masalah kesihatan mental.
Timbalan Ketua Polis Daerah KLIA, Superintenden Albany Hamzah berkata, wanita berkenaan merupakan warga tempatan dan telah ditahan pada 18 Disember lalu.
“Pemeriksaan mendapati wanita tersebut mempunyai kad masalah kesihatan mental dan tindakan lanjut telah diambil dengan menyerahkannya ke Hospital Kajang,” katanya.
Namun, punca sebenar keberadaan wanita itu di KLIA Terminal 1 masih belum dapat dipastikan.
Sebelum ini, tular dalam media sosial rakaman seorang individu berada di kawasan terminal bersama barangan peribadi, dipercayai bergantung sepenuhnya kepada kemudahan awam seperti internet, pendingin hawa, dan bekalan air yang disediakan di lapangan terbang berkenaan.
Rakaman video berkenaan menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan orang ramai mengenai tempoh wanita itu berada di terminal serta kesannya terhadap imej KLIA sebagai pintu masuk antarabangsa.
Pihak polis menegaskan siasatan berterusan dijalankan dan kerjasama orang ramai diperlukan agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai.







