
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap penipuan pelaburan menggunakan teknologi deepfake yang menyamar sebagai pegawai kanan kedua-dua institusi berkenaan.
Dalam kenyataan BNM, penipuan itu menggunakan kandungan video yang dimanipulasi bagi mewujudkan gambaran seolah-olah pegawai kanan BNM atau SC mempromosikan atau mengesyorkan skim pelaburan serta produk kewangan tertentu.
BNM dan SC menegaskan bahawa kedua-dua institusi itu tidak mempromosikan atau mengesyorkan sebarang skim pelaburan swasta.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya menyemak kesahihan sesuatu maklumat melalui saluran rasmi sebelum membuat keputusan pelaburan atau berkongsi kandungan berkenaan.
“Bagi membantu orang ramai mengenal pasti penipuan sedemikian, BNM menyediakan contoh kandungan deepfake dan penyamaran berkaitan institusi itu menerusi laman web bnm.gov.my/verify.
“Orang ramai juga boleh menyemak Senarai Amaran Pengguna Kewangan BNM (Financial Consumer Alert List) atau Senarai Peringatan Pelabur SC (Investor Alert List) bagi mengenal pasti entiti dan skim yang telah ditandai oleh pihak berkuasa,”kata kenyataan itu.
Selain itu, BNM menambah, status kebenaran sesebuah entiti untuk menawarkan produk kewangan atau pelaburan boleh disahkan melalui BNMLINK atau portal Investment Checker kendalian SC.
Jelas kenyataan tersebut, orang ramai turut digalakkan mengikuti halaman Facebook Amaran Scam untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai modus operandi penipuan serta panduan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.
“Dalam masa sama, sebarang kandungan mencurigakan perlu dilaporkan kepada platform media sosial berkaitan atau dimaklumkan kepada BNM dan SC bagi membantu mengekang penyebaran maklumat palsu serta mengelakkan lebih ramai pengguna terpedaya.
“Orang ramai diingatkan supaya tidak membuat keputusan pelaburan hanya berdasarkan video, rakaman suara atau kenyataan yang tular di media sosial, khususnya kandungan yang menggunakan identiti individu berprofil tinggi untuk meraih kepercayaan,” katanya.
BNM berkata, pengesahan melalui saluran rasmi dan semakan status pihak yang menawarkan pelaburan merupakan langkah penting bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan kewangan.






