
KUALA LUMPUR: Infrastruktur perundangan dan institusi Malaysia mesti dibangunkan seiring dengan infrastruktur fizikal dan digital bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serta mengekalkan keyakinan pelabur, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata sistem penyelesaian pertikaian yang berkesan menjadi komponen penting dalam infrastruktur ekonomi negara yang meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan dan memudah cara aliran pelaburan asing.
“Pelabur memerlukan lebih daripada sekadar dasar yang kukuh dan peluang komersial. Mereka memerlukan keyakinan bahawa pertikaian akan dikendalikan secara adil, cekap dan saksama, terutamanya yang merentas sempadan.
“Oleh itu, infrastruktur undang-undang dan institusi kita mesti dibina seiring dengan infrastruktur fizikal dan digital kita,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Minggu Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) Asia 2026 anjuran Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di sini hari ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Seri Abu Bakar Jais, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran serta Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Brenndon Keith Soh.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata keperluan untuk penyelesaian pertikaian yang berkesan akan meningkat apabila sektor keutamaan yang digariskan dalam Belanjawan 2027 diterjemahkan kepada projek komersial utama.
Beliau berkata perkara itu amat relevan dengan projek infrastruktur dan utiliti berskala besar yang melibatkan grid elektrik nasional, kapasiti tenaga boleh baharu, keterjaminan air dan tebatan banjir.
“Ini pelaburan jangka panjang dengan pengaturan kontrak yang kompleks dan pelbagai pihak berkepentingan. Cara pengurusan konflik yang berkesan adalah kunci untuk memastikan projek dilaksanakan mengikut jadual sebelum pertikaian menjejaskan penyampaiannya,” katanya.
Beliau berkata kejayaan jangka panjang kerangka adjudikasi statutori seperti Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2012 (CIPAA 2012) bergantung pada penambahbaikan institusi dan pembinaan kompetensi yang berterusan.
“Apabila aspirasi industri menjadi lebih kompleks dan memerlukan kemahiran teknikal yang tinggi, kita mesti terus memperkukuh kompetensi pengadil, kecekapan prosiding dan keyakinan pihak yang bergantung pada kerangka ini,” katanya.
Selain itu, beliau menggesa AIAC untuk terus memajukan CIPAA sebagai penanda aras global bagi adjudikasi statutori.
“Aspirasi saya adalah untuk memastikan ia kekal bukan sahaja sebagai mekanisme yang berkesan bagi industri pembinaan di Malaysia, tetapi juga sebagai model yang menjadi rujukan serta inspirasi kepada bidang kuasa lain,” katanya.
Mengenai pembangunan ADR pada peringkat serantau, Fadillah berkata AIAC akan menandatangani perjanjian pada 19 Okt untuk menubuhkan pejabat cawangan di Sarawak yang akan disaksikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Azalina.
“Ini mencerminkan komitmen kita untuk mendekatkan penyelesaian pertikaian institusi kepada pihak perniagaan, industri dan komuniti di Sarawak serta rantau Borneo yang lebih luas.
“Kerjasama ini perlu diperkukuh menerusi inisiatif bersama dan kesedaran lebih tinggi mengenai ADR. Objektif kita bukan sekadar mewujudkan satu lagi kehadiran institusi, sebaliknya membina ekosistem ADR yang lebih kukuh, mudah diakses dan saling terhubung bagi memenuhi keperluan tempatan,” katanya. – BERNAMA






