
KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengiktiraf pencapaian skuad Speedy Tigers yang merangkul pingat perak pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun, baru-baru ini, dengan pemberian insentif keseluruhan berjumlah RM160,000.
Insentif berkenaan disalurkan kepada 20 pemain dan lapan pegawai pasukan diberikan dalam satu majlis makan malam penghargaan buat skuad hoki lelaki kebangsaan di sini, malam semalam.
Presiden MHC Datuk Seri Subahan Kamal dalam kenyataan sama berkata, kejayaan meraih pingat perak ketiga buat skuad hoki lelaki kebangsaan pada Sukan Asia merupakan hasil usaha berpasukan yang menuntut komitmen, disiplin, penat lelah dan pengorbanan tanpa berbelah bahagi daripada semua pihak.
Subahan turut menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian Speedy Tigers yang membuktikan kemampuan Malaysia untuk bersaing di peringkat tertinggi, selain menyifatkan kejayaan tersebut sebagai satu pencapaian bermakna buat hoki negara.
“Pingat perak ini merupakan satu kebanggaan buat Malaysia dan seluruh keluarga hoki negara. Ia bukan sesuatu yang datang dengan mudah, sebaliknya hasil usaha, penat lelah, disiplin serta pengorbanan yang diberikan setiap pemain, barisan kejurulatihan dan anggota sokongan demi membawa cabaran negara,” katanya.
Pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hasrat Malaysia untuk merangkul emas tidak kesampaian apabila tumpas 1-5 kepada juara bertahan India dalam aksi final di Gifu Prefectural Green Stadium, 3 Oktober lepas.
Speedy Tigers selepas ini akan memberikan tumpuan kepada dua kejohanan antarabangsa iaitu Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia di Punjab, India dari 27 Oktober hingga 5 November diikuti Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2026 di Ipoh, Perak bermula 20 hingga 28 November. – BERNAMA







