
KUALA LUMPUR: Kongsi Photo Week 2026 (KPW26) menghimpunkan 29 pengkarya fotografi dari Malaysia dan Indonesia menerusi pelbagai pengisian seni visual, penerbitan buku foto, tayangan filem dan perkongsian kreatif di Art Depot, Balai Seni Negara bermula 1 hingga 11 Oktober lalu.
Penganjuran festival itu membuka ruang kepada jurugambar, penggiat seni, penerbit, pengumpul buku foto dan masyarakat umum untuk meneroka fotografi sebagai medium penceritaan yang melangkaui penghasilan imej semata-mata.
KPW26 yang dianjurkan oleh KongsiHubKL menerusi program Kongsi.Seni dengan kerjasama Balai Seni Negara turut mengetengahkan pendekatan eksperimental menggabungkan fotografi, bunyi, instalasi dan elemen visual bagi memberikan pengalaman lebih menyeluruh kepada pengunjung.

Pengarah merangkap kurator KPW26, Syaiful Redzuan Md Nor, berkata festival itu antara lain bertujuan mengangkat dokumentari sebagai platform penceritaan, selain membuktikan pameran berskala besar boleh direalisasikan menerusi pendekatan mandiri.
“Pendekatan yang kami bawakan tidak hanya melihat pengunjung sebagai penonton gambar semata-mata, sebaliknya elemen bunyi, instalasi dan visual turut digunakan bagi membolehkan pengunjung mengalami sesuatu cerita secara lebih menyeluruh.
“Pameran kali ini turut mendapat perhatian Balai Seni Negara menerusi kunjungan delegasi ASEAN Artpreneur Retreat 2026 (AAR 2026),” katanya.

Majlis pembukaan KPW26 disempurnakan Pengarah Bahagian Pengurusan Pameran, Koleksi dan Konservasi Balai Seni Negara, Baktiar Naim Jaaffar mewakili institusi seni berkenaan.
Syaiful Redzuan menambah, antara pengisian utama festival itu ialah Photobook Dummy Workshop yang menampilkan pasangan penerbit mandiri dari Indonesia, Andi Ari Setiadi dan Caron Toshiko, pengasas Guearigaleri, bagi berkongsi pengetahuan mengenai proses penghasilan serta penerbitan buku foto.
Katanya, festival itu turut menampilkan pemenang utama Book Photographer of the Year, Yuji Haikal, yang berkongsi pengalaman dan cabaran dalam menerbitkan beberapa naskhah karya peribadinya.

“Selain itu, pengunjung berpeluang menyaksikan tayangan siri gambar Angkor Hangover serta filem pendek terbitan Dr. Adam Taufiq Suharto, termasuk KL Limbo, Kuala Lain dan Sesudah Taiping.
“KPW26 turut mengetengahkan tema Work In Progress (WIP) yang melibatkan pengkarya dari Malaysia dan Indonesia, sekali gus memberikan ruang kepada karya yang masih dalam proses pembangunan untuk dikongsi dan diterokai bersama khalayak,” ujarnya.
Dia menjelaskan, pendekatan itu mencerminkan usaha memperluas pemahaman terhadap fotografi, bukan sekadar sebagai karya yang dipamerkan di dinding galeri, tetapi juga sebagai proses kreatif yang merangkumi penyelidikan, penceritaan, eksperimen dan penerbitan.
Katanya lagi, antara program lain yang diketengahkan ialah Kongsi.Cerita, Kongsi.Gambar, Kongsi.Layar, Kongsi.Idea, Kongsi.Karya dan Kongsi.Buku, yang menyediakan platform interaksi secara langsung antara pengunjung dengan jurugambar serta proses penghasilan karya.

“Secara keseluruhan, KPW26 meneruskan usaha KongsiHubKL membina ekosistem fotografi yang lebih terbuka melalui gabungan pendidikan, perkongsian pengalaman dan penerokaan seni, di samping menggalakkan hubungan lebih erat antara pengkarya dengan masyarakat.
“Ia turut memperlihatkan potensi fotografi sebagai medium yang bukan sahaja merakam realiti, malah menyampaikan cerita, mencetuskan perbincangan dan membuka perspektif baharu terhadap pengalaman manusia,” katanya.






