PUTRAJAYA: Kajian berhubung cadangan pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur, bukan dijalankan oleh mana-mana parti politik tetapi dilaksanakan sebuah universiti awam terkemuka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kajian berkenaan dimulakan sejak Disember tahun lalu, dikendalikan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Katanya, kajian tersebut dilaksanakan ketika portfolio Wilayah Persekutuan masih di bawah seliaan menteri terdahulu dan kini masih berada di peringkat awal.
“Saya sudah jelaskan ketika ini ia masih di peringkat kajian. Kajian ini dibuat kerana terdapat rang undang-undang persendirian yang dibentangkan oleh seorang Ahli Parlimen dalam sidang Parlimen sebelum ini.
“Jadi, kajian ini bukan baharu dimulakan sekarang, sebaliknya telah berjalan sejak Disember lalu ketika mantan Menteri Wilayah Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani Nota Kerjasama antara Jabatan Wilayah Persekutuan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.
Mengulas dakwaan kajian itu didalangi DAP, Hannah menegaskan perkara tersebut tidak benar dan meminta semua pihak tidak membuat tanggapan awal.
“Jangan bimbang, kajian ini dijalankan oleh UIAM, sebuah universiti terkemuka. Ia bukan dibuat oleh orang DAP,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini kementerian masih belum menerima sebarang dapatan kajian berkenaan.
“Saya belum menerima hasil kajian tersebut. Kita masih menunggu. Selepas kita meneliti dapatan kajian sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak, barulah kita akan menyediakan kertas Kabinet untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri, sama ada perlu meminda akta atau sebaliknya,” jelasnya.
Sehubungan itu, Hannah menegaskan adalah terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan atau kenyataan lanjut mengenai cadangan pelaksanaan pilihan raya PBT di ibu negara.
“Buat masa ini, adalah pramatang untuk memberi komen kerana proses kajian masih berjalan,” katanya.
Kelmarin, Hannah memaklumkan kajian mengenai pelaksanaan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur sedang dijalankan oleh UIAM sejak Disember lalu.
Namun, cadangan tersebut menerima tentangan beberapa pihak, termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang menyifatkannya sebagai kesinambungan agenda terdahulu seperti Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dan pilihan raya PBT yang pernah ditolak.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd. Razlan Muhammad Rafii turut menyuarakan bantahan dengan menyifatkan cadangan berkenaan sebagai agenda politik yang berisiko dan boleh merugikan rakyat.
Pada 2023, DAP Wilayah Persekutuan pernah menggesa kerajaan mengembalikan semula pilihan raya di peringkat bandar raya Kuala Lumpur.
