
KUALA NERUS: Pelantikan Ketua Pembangkang baharu akan diputuskan sebelum sidang Parlimen pada Jun ini.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan berhubung jawatan berkenaan akan dimuktamadkan selepas perbincangan menyeluruh melibatkan semua parti pembangkang.
Beliau berkata, masa mencukupi untuk membuat keputusan itu dengan keutamaan ketika ini tertumpu kepada penyelesaikan urusan dalaman parti serta perkara berkaitan Perikatan Nasional.
“Perkara ini perlu dibincangkan dengan semua pihak kerana ia melibatkan semua ahli Parlimen pembangkang bukan hanya satu parti.
“Kita akan mengambil kira pandangan semua parti politik serta ahli Parlimen pembangkang termasuk dari Sabah dan Sarawak. Calon perlu mendapat persetujuan semua parti komponen,” katanya kepada pemberita selepas Kuliah Dhuha di sini hari ini.
Setakat ini, jawatan Ketua Pembangkang masih dipegang Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang juga Ahli Parlimen Larut.
Sementara itu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang mengulangi cadangan supaya satu sidang khas Parlimen diadakan bagi membincangkan krisis tenaga global yang memberi kesan kepada ekonomi negara.
Katanya, langkah itu penting kerana isu berkenaan memberi kesan kepada semua pihak dan memerlukan penglibatan wakil rakyat secara menyeluruh dalam mengemukakan pandangan berhubung krisis tersebut.






