
KUALA LUMPUR: Couture Fashion Week Malaysia (CFWM) 2025 bakal berlangsung di Hotel Four Seasons, di sini pada 29 Ogos.
Bertemakan ‘Menjiwai Keindahan dengan Gaya dan Keanggunan’, acara ini menjanjikan gabungan memukau antara fesyen mewah, budaya tempatan dan kesedaran global terhadap kelestarian.
Acara bertaraf antarabangsa ini bukan sekadar pertunjukan fesyen, malah ia adalah simbol kebangkitan Kuala Lumpur sebagai hab fesyen mewah Asia Tenggara, menyatukan pereka terkenal dari serata dunia termasuk Jepun, Amerika Syarikat (AS), India, Indonesia, Dubai dan Kazakhstan.
CFWM 2025 turut mengangkat mesej fesyen lestari, kesejahteraan, dan inovasi dalam industri kecantikan, melalui kerjasama strategik bersama Neu Clinic (Damansara Heights).
Pelancaran juga menyaksikan perjanjian penting dalam bentuk Memorandum Kolaborasi (MoC) untuk memperkenalkan Pelancongan Perubatan Couture, menjadikan Malaysia destinasi gaya dan rawatan estetik terunggul di rantau ini.
“CFWM adalah lebih daripada pertunjukan. Ia adalah platform global untuk menonjolkan keanggunan moden, budaya tempatan dan memperkasa industri kreatif kita,” kata Ziinine A. Britshi, Pengarah Eksekutif CFWM.
Dalam pada itu, Pengarah Perubatan dan Pengasas Neu Clinic (Damansara Heights), Dr. Angeline wong yang merupakan penaja utama dan rakan strategik acara berkata, kerjasama ini lebih daripada sekadar penajaan.
“Ia adalah satu sambutan visi bersama antara dunia estetik dan couture, yang mengangkat keindahan abadi, keanggunan moden, dan inovasi berasaskan tujuan.
“Gala ini bukan sekadar perayaan fesyen, tetapi juga kemajuan dengan gaya bertemu kesejahteraan, inovasi serta tradisi dan kami bangga menjadi sebahagian daripadanya,” katanya.
Acara ini turut meraikan warisan etnik Sarawak melalui kerjasama budaya istimewa bersama PAKES, menampilkan seni dan tradisi asli Borneo dalam bentuk persembahan dan rekaan eksklusif yang memukau mata dunia.
Lebih menarik, pelajar fesyen terpilih dari institusi Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kelolaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan berpeluang menampilkan rekaan mereka bersama pereka antarabangsa dalam gala ini , sekali gus menjadi peluang keemasan untuk anak tempatan melangkah ke pentas global.
“Ini bukti bakat muda Malaysia mampu bersaing di peringkat antarabangsa dan kami di MARA bangga menjadi sebahagian daripada perjalanan ini,” ujar Ts. Asmar Suid, Timbalan Pengarah Bahagian Kemahiran & Teknikal Mara.
Majlis pelancaran CFWM 2025 diadakan di De.Wan 1958 @ The Linc Kuala Lumpur, disempurnakan oleh Yang Mulia Raja Omar Ikram selaku Penaung Diraja, serta dihadiri selebriti dan tokoh-tokoh kenamaan termasuk Datuk Chef Wan, Tan Sri Dr. M. Kayveas JP, dan wakil daripada Kementerian Pelancongan, MCCF dan organisasi fesyen antarabangsa.







