KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki Hafizahullah, menyuarakan kebimbangannya berhubung usaha segelintir pihak, khususnya pembangkang yang merancang mengadakan perhimpunan di ibu negara pada 26 Julai ini bagi mendesak peletakan jawatan perdana menteri.
Kata beliau, pertukaran kerajaan yang terlalu kerap boleh menjejaskan kehidupan rakyat, termasuk kemajuan institusi pondok dan pertumbuhan ekonomi negara.
“Di Malaysia ini, kita kadang-kala tukar kerajaan setiap dua tahun, malah ada masanya setahun pun sudah berubah.
“Bila dasar sentiasa berubah, pondok jadi lemah, ekonomi pun lesu. Ini bukan cara Islam,” katanya ketika menyampaikan ceramah pada Program Malaysia Bermunajat 2025 di Masjid Putra, Putrajaya, semalam.
Sheikh Wazir berkata, kehadiran ramai umat Islam dalam program tersebut mencerminkan sokongan padu terhadap kepimpinan Anwar yang menerajui Kerajaan Perpaduan sejak akhir 2022.
“Insya Allah, segala cabaran dan dugaan dalam negara ini dapat diatasi.
“Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar boleh dipertahankan,” katanya, sambil mengimbau hubungan lamanya dengan Anwar, termasuk bantuan kewangan yang pernah disalurkan ketika beliau berada di Pakistan selama 13 tahun.
“Bantuan itu untuk pelajar-pelajar ASEAN di Pakistan. Kebaikan itu masih diteruskan oleh beliau,” katanya.
Sebelum ini, pembangkang merancang Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai ini dengan sasaran kehadiran mencecah 300,000 orang, berbanding sasaran awal seramai 50,000 peserta.
Semalam, Anwar mencabar pengkritiknya supaya membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat sekiranya benar-benar ingin mengambil alih pentadbiran negara.
Beliau turut menegaskan sekiranya usaha itu gagal, pembangkang perlu menunggu sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
