
KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) hari ini secara rasmi mengumumkan pelantikan Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan, 51, sebagai Ketua Eksekutif baharu yang berkuat kuasa serta-merta.
Menerusi kenyataan, HRD Corp memaklumkan pelantikan itu menyaksikan kemasukan seorang tokoh berpengalaman luas dalam dunia korporat, dengan lebih 27 tahun kepimpinan strategik merentasi sektor perkhidmatan kewangan, teknologi perbankan, dan perundingan pengurusan.
“Syed Alwi dikenali kerana keupayaannya dalam memacu pertumbuhan organisasi, memperkukuh institusi kewangan, dan memperkenalkan inisiatif inovatif berfokuskan masa depan yang sejajar dengan strategi kewangan jangka panjang, demi mencipta impak yang mampan.
“Sepanjang kerjayanya, beliau pernah memegang pelbagai jawatan kanan, antaranya Pengarah Urusan BNP Paribas Malaysia Berhad (Perbankan Islam); Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMPSA Holdings Sdn. Bhd,” menurut kenyataan tersebut.
Syed Alwi turut berkhidmat di pelbagai institusi kewangan terkemuka global dan serantau seperti Standard Chartered Saadiq, The Islamic Bank of Asia (Singapura), HL Bank (Singapura) dan MRANTI Corporation.
Beliau memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan operasi dan menambah nilai kepada pihak berkepentingan.
Syed Alwi juga mempunyai kelulusan dalam Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam Kewangan dari Universiti Malaya; Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) – penerima Anugerah Rektor; Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) kelas pertama dalam Kewangan Islam dari UIAM dan tamat Program Fintech Oxford di Saïd Business School, University of Oxford
Sepanjang perkhidmatannya, Syed Alwi diiktiraf berhubung sumbangan besar beliau dalam transformasi korporat, penambahbaikan prestasi operasi, dan penciptaan nilai mampan untuk organisasi dan pihak berkepentingan.
Pelantikan beliau ke jawatan tertinggi HRD Corp diyakini akan memperkukuh lagi peranan agensi itu dalam memacu pembangunan modal insan negara serta menyokong aspirasi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berdaya saing dan inklusif.






