
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyambut ulang tahun ke-103 penubuhannya dalam satu majlis penuh bersejarah di Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya.
Sambutan ini bukan sahaja memperingati penubuhan undang-undang imigresen pertama negara iaitu Passenger Restriction Ordinance 1922 yang mula dikuatkuasakan pada 21 Julai 1922 tetapi turut menjadi simbol transformasi jabatan ini daripada kaunter manual ke sistem digital yang canggih dan berteknologi tinggi.
Dari penggunaan pasport kertas kepada pasport biometrik berteknologi tinggi yang dilengkapi cip keselamatan dan data cap jari, JIM kini berada di barisan hadapan negara-negara dunia dalam sistem imigresen moden. Malaysia menjadi antara negara terawal yang memperkenalkan pasport biometrik pada tahun 1998.
“Pada tahun ini, pasport Malaysia berada di tangga kelapan paling berkuasa di dunia menurut PassportRanking.org 2025, dengan akses ke 170 negara tanpa visa atau dengan visa semasa ketibaan.
“Transformasi teknologi turut mempercepatkan proses pengeluaran pasport yang dahulunya mengambil masa beberapa minggu, kini hanya satu jam hingga sehari sahaja,” menurut JIM menerusi kenyataan.
JIM terus melangkah ke hadapan dengan pelancaran MyVISA 2.0, satu platform visa digital yang direka semula secara menyeluruh untuk menjawab keperluan rakyat dan pelawat antarabangsa.
Sistem ini akan berkuat kuasa bermula 1 Ogos 2025.
MyVISA 2.0 bukan sekadar naik taraf, tetapi satu anjakan paradigma dalam sistem visa negara. Antara ciri utama yang diperkenalkan termasuk permohonan visa secara digital sepenuhnya, imbasan pasport dan muat naik dokumen secara automatik, temu duga secara maya, penjejakan permohonan masa nyata, kelulusan eVisa dengan kod QR, live chat interaktif untuk bantuan segera.
Pemohon juga tidak lagi perlu hadir ke pejabat perwakilan Malaysia di luar negara – segalanya boleh diselesaikan secara dalam talian.
Dalam pada itu, majlis sambutan turut menyaksikan penganugerahan pingat perkhidmatan kepada pegawai-pegawai yang menunjukkan kecemerlangan dalam tugas.
Pengiktirafan ini diberikan atas sumbangan besar mereka dalam aspek pendidikan, kebajikan, pemodenan sistem serta dedikasi dalam perkhidmatan awam.
Majlis turut dimeriahkan dengan Kawalan Kehormatan, Pemeriksaan Perbarisan, persembahan khas Hari Imigresen, penyampaian surat kelulusan permit masuk, dan penyampaian hadiah bagi Pertandingan Kaunter Terbaik JIM 2025.





