KUALA KANGSAR: Ketekunan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam menjalankan kajian dan pembangunan (R&D) durian selama berdekad-dekad menjadikan Malaysia antara pengeluar durian terbaik di rantau ASEAN.
Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, proses pemilihan dan pembangunan baka durian baharu boleh mengambil masa sehingga 20 tahun sebelum dilepaskan kepada pekebun untuk penanaman komersial.
“Tempoh yang panjang ini penting untuk memastikan baka durian benar-benar stabil dan sesuai ditanam. Setelah disahkan stabil, barulah ia dilepaskan kepada pekebun,” katanya ketika ditemui dalam program Duriotourism MARDI Kuala Kangsar.
Beliau berkata, komitmen jangka panjang dalam R&D ini menjadi asas kepada keunikan dan kualiti durian Malaysia yang terkenal dengan pelbagai rasa serta profil aroma tersendiri, menjadikan durian tempatan sebagai antara yang terbaik di Asia Tenggara.
Selain memperkenalkan baka unggul, MARDI turut membangunkan teknologi penyimpanan durian sejuk beku yang mampu mengekalkan rasa dan kualiti buah sehingga enam bulan, tanpa mengubah struktur mahupun rasa asal.
“Kita bukan sahaja mampu menyejuk beku isi durian, malah keseluruhan buah boleh disejuk beku menggunakan teknologi khas. Ini membuka potensi besar untuk eksport dan simpanan jangka panjang,” katanya.
Mohamad Zabawi turut berkongsi mengenai Ladang Durian MARDI di Kuala Kangsar yang kini mempunyai lebih 1,000 pokok dengan pelbagai jenis durian. Menariknya, ladang ini mampu berbuah dua kali setahun, menjadikannya lokasi strategik untuk penyelidikan dan juga pelancongan pertanian.
“Setiap musim, ladang ini boleh mengeluarkan sehingga 30 tan durian. Kami buka kepada orang ramai untuk menikmati durian segar terus dari ladang dengan kadar bayaran yang sangat minimum,” katanya.
Program Duriotourism ini bukan sahaja mempamerkan hasil penyelidikan MARDI, malah turut menjadi platform interaktif untuk mendekatkan orang awam dengan dunia agrikultur moden serta mempromosi durian Malaysia kepada pelancong dalam dan luar negara.
Dengan gabungan penyelidikan mendalam, teknologi canggih dan semangat inovasi, MARDI terus membuktikan durian bukan sekadar buah tempatan, tetapi khazanah negara yang ‘agung’.
